KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) memaklumkan beberapa perkhidmatan perbankannya akan tergendala pada Sabtu, 15 Ogos 2026 susulan kerja penyelenggaraan sistem berjadual.
Langkah itu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan pengalaman perbankan dalam talian dan luar talian terus lancar serta selamat untuk pelanggan.
Gangguan perkhidmatan membabitkan sebahagian besar mesin juruwang automatik (ATM) dan terminal layan diri (SST) dijadualkan berlaku dari 12 tengah malam hingga 8 pagi.
Sementara itu, gangguan terhadap platform web dan aplikasi mudah alih termasuk laman web Maybank2u, aplikasi MAE, Maybank2u Biz serta mesin ATM 24 jam di lokasi terpilih iaitu Pavilion Bukit Bintang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kampus Universiti Malaya akan berlaku dari 3 pagi hingga 8 pagi.
Bagaimanapun, pelanggan masih boleh menggunakan aplikasi MAE untuk beberapa fungsi utama sepanjang tempoh berkenaan, termasuk semakan baki akaun, pindahan dana antara akaun Maybank, DuitNow Transfer, pembayaran bil, JomPAY dan transaksi QR Scan & Pay.
Maybank berkata kerja penyelenggaraan itu penting bagi memastikan kestabilan operasi perbankan terus diperkukuh bagi memenuhi keperluan pelanggan.
Justeru, pelanggan dinasihatkan supaya menyelesaikan urusan perbankan lebih awal sebelum tempoh penyelenggaraan tersebut bermula.