Skip to main content

Teknologi

Meta bakal saingi AWS, Google Cloud dalam pasaran pengkomputeran AI

META
Meta sebelum ini membelanjakan berbilion dolar untuk membangunkan pusat data berskala besar dan memperkukuh kemampuan AI syarikat itu, termasuk pembangunan model serta infrastruktur pengkomputeran berprestasi tinggi. -Gambar fail
Advertisement

META dilapor sedang membangunkan perniagaan perkhidmatan awan bagi menjual kapasiti pengkomputeran kecerdasan buatan (AI) kepada pelanggan luar sebagai usaha menjana sumber pendapatan baharu daripada pelaburan infrastrukturnya yang besar.

Menurut Amanz yang memetik laporan Bloomberg dan Reuters, pelan itu masih di peringkat pembangunan dan boleh berubah mengikut pertimbangan syarikat.

Langkah tersebut berpotensi meletakkan Meta sebagai pesaing baharu kepada penyedia perkhidmatan awan utama seperti Amazon Web Services (AWS), Microsoft Azure dan Google Cloud menerusi penawaran akses kepada model AI serta kapasiti pengkomputeran yang dihoskan pada infrastrukturnya sendiri.

Meta sebelum ini membelanjakan berbilion dolar untuk membangunkan pusat data berskala besar dan memperkukuh kemampuan AI syarikat itu, termasuk pembangunan model serta infrastruktur pengkomputeran berprestasi tinggi.

Menurut laporan berkenaan, Meta sedang mempertimbangkan dua pendekatan utama, iaitu membolehkan pembangun mengakses model AI yang dihoskan pada infrastrukturnya atau menjual kapasiti pengkomputeran AI secara terus kepada pelanggan perusahaan.

Penganalisis berpendapat langkah itu boleh membantu Meta mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan pengiklanan selain menjana pulangan daripada pelaburan AI yang semakin meningkat.

Pada masa sama, strategi berkenaan turut dijangka meningkatkan persaingan dalam sektor perkhidmatan awan yang kini didominasi oleh AWS, Microsoft dan Google.

Inisiatif itu juga dilihat menyerupai tindakan beberapa syarikat teknologi lain yang mula mengkomersialkan kapasiti pengkomputeran AI bagi memperoleh pulangan daripada pelaburan besar dalam infrastruktur pusat data.

 

Must Watch Video

Advertisement