Skip to main content

Teknologi

Meta berdepan penalti AS$1.4 trilion kerana Facebook, Instagram didakwa sebabkan ketagihan

Sumber: Adobe Stock
Mac tahun ini Meta diarahkan membayar penalti AS$375 juta oleh mahkamah di New Mexico kerana mengelirukan pengguna tentang keselamatan kanak-kanak di platform Facebook, Instagram dan WhatsApp. - Gambar hiasan
Advertisement

NEGERI California, Colorado, Kentucky dan New Jersey menuntut penalti mencecah AS$1.4 trilion (~RM 5.71 trilion) terhadap Meta atas dakwaan bahawa Facebook dan Instagram direka untuk menjadikan remaja ketagih serta mengelirukan orang awam tentang keselamatan menggunakan platform. 

Jumlah tuntunan penalti yang diminta adalah hampir sama besar dengan nilai pasaran Meta pada ketika ini iaitu AS$1.56 trilion.

Perbicaraan dijadualkan pada Ogos 2026 di Oakland, California, melibatkan dakwaan di bawah undang-undang negeri dan Akta Perlindungan Privasi Atas Talian Kanak-kanak (COPPA). 

Jumlah penalti yang tinggi ini adalah berdasarkan bilangan remaja yang terjejas yang digandakan dengan amaun denda mengikut undang-undang negeri masing-masing.

Hakim Yvonne Gonzalez Rogers sebelum ini menolak permohonan Meta untuk membatalkan kes. 

Meta menyatakan masih wujud pertikaian fakta tentang platform Meta menyebabkan ketagihan dan platform menyasarkan pengguna kanak-kanak. 

Meta menambah hujah bahawa “ketagihan media sosial” bukan istilah psikiatri yang diiktiraf, maka kenyataan bahawa platform tidak ketagih tidak boleh dianggap palsu.

Mac tahun ini Meta diarahkan membayar penalti AS$375 juta oleh mahkamah di New Mexico kerana mengelirukan pengguna tentang keselamatan kanak-kanak di platform Facebook, Instagram dan WhatsApp. 

Juri mendapati Meta bertanggungjawab membahayakan kanak-kanak dan mendedahkan mereka kepada bahan seksual dan hubungan dengan pemangsa seksual.

Keputusan mahkamah New Mexico membuka pintu untuk negeri-negeri lain turut mengheret Meta atas kesalahan yang sama. 

Setakat ini 29 negeri telah menyaman Meta di mahkamah persekutuan dan 14 negeri lain membawa kes di mahkamah negeri masing-masing.

Kes berkaitan syarikat lain seperti Snapchat, YouTube, TikTok juga sedang berjalan, dengan ribuan tuntutan mendakwa platform-platform ini turut menyebabkan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

 

Must Watch Video

Advertisement