Skip to main content
Advertisement

Teknologi

Meta VR Glasses diperkenal dengan paparan 5K

[TB]_Meta VR Glasses_AMANZ
Ia juga menjadi peranti VR pertama di dunia yang menerima pensijilan IMAX Enhanced untuk pengalaman tontonan sinematik. -Foto Amanz
Advertisement

META secara rasmi melancarkan Meta VR Glasses, peranti realiti gabungan (XR) kompak terbaharunya yang direka dalam bentuk cermin mata, sekali gus mengukuhkan komitmen syarikat itu terhadap pembangunan teknologi imersif, lapor Amanz.

Pelancaran produk itu dibuat ketika pasaran realiti maya global dilihat berkembang pada kadar lebih perlahan berbanding beberapa tahun lalu, dengan beberapa pemain industri termasuk Apple dan Samsung masih memperkemas strategi masing-masing dalam segmen berkenaan.

Menurut Meta, peranti itu merealisasikan visi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg, untuk menghasilkan peranti XR ultra ringan dengan berat kira-kira 100 gram, iaitu kira-kira lima kali lebih ringan berbanding Meta Quest 3.

Peranti premium itu dilengkapi paparan 5K Infinite Display berasaskan teknologi micro-OLED bersama sokongan Dolby Vision.

Ia juga menjadi peranti VR pertama di dunia yang menerima pensijilan IMAX Enhanced untuk pengalaman tontonan sinematik.

Bagi mengurangkan berat pada bingkai utama, Meta memisahkan komponen pemprosesan, storan dan bateri ke dalam sebuah pek komputer luaran atau "puck" yang disambungkan menerusi kabel optik dan boleh disimpan di dalam poket pengguna.

Pek komputer itu dikuasakan cip Snapdragon Reality Elite dan menawarkan sehingga tiga jam penggunaan berterusan bagi tontonan media beresolusi tinggi.

Dalam mod XR, pengguna boleh menikmati kandungan filem 2D, 3D dan video imersif menerusi skrin maya bersaiz besar yang menyokong platform penstriman seperti Disney+, Peacock, Paramount+ dan Max.

Meta turut mengumumkan kerjasama dengan ESPN untuk menawarkan siaran langsung acara sukan dalam format imersif beresolusi tinggi kepada pengguna.

Bagi tugasan produktiviti, peranti itu boleh dihubungkan dengan ekosistem Windows untuk memaparkan beberapa tetingkap maya serentak, selain membolehkan permukaan rata digunakan sebagai papan kekunci dan trakpad maya.

Dalam aspek permainan, sebanyak 75 permainan VR yang dioptimumkan untuk kawalan berasaskan gerakan tangan boleh dimainkan ketika pelancaran, selain sokongan kepada ratusan judul lain melalui Xbox Cloud Gaming.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah Hologram Calling yang membolehkan pengguna berinteraksi menerusi avatar hologram bersaiz penuh dalam masa nyata.

Sistem pengesan terbina dalam turut membolehkan ekspresi wajah serta pergerakan tangan dipadankan secara langsung dengan avatar yang dipaparkan.

Meta VR Glasses dijadual mula dipasarkan secara global pada musim bunga 2027 dengan harga pengenalan AS$1,299.99 (kira-kira RM5,460) seunit.

Must Watch Video

Advertisement