REDMOND: Microsoft mengesahkan perancangan melancarkan aplikasi AI bersepadu pada suku semasa bagi menyatukan pelbagai perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) syarikat itu di bawah satu platform, lapor Amanz.
Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella, berkata aplikasi berkenaan akan menggabungkan pelbagai pengalaman Copilot termasuk Copilot Chat, Cowork, Autopilots dan pembantu penulisan kod GitHub Copilot dalam satu ekosistem.
Menurut beliau, langkah itu merupakan sebahagian daripada evolusi Copilot daripada sekadar aplikasi sembang kepada platform kerja yang mampu mengurus tugasan, automasi dan pembangunan perisian.
Microsoft berharap pendekatan tersebut dapat meningkatkan pengalaman pengguna dengan mengurangkan keperluan bertukar antara aplikasi berasingan untuk tugasan yang berlainan.
Aplikasi baharu itu akan ditawarkan kepada pelanggan komersial serta pengguna biasa, sekali gus berfungsi sebagai hab utama bagi pelbagai perkhidmatan AI syarikat berkenaan.
Perkembangan itu diumumkan ketika Microsoft melaporkan jumlah langganan berbayar Microsoft 365 Copilot telah melepasi 30 juta kerusi pengguna, mencerminkan peningkatan penggunaan teknologi AI dalam kalangan pelanggan perusahaan.
Microsoft bukan satu-satunya syarikat yang mengorak langkah ke arah model aplikasi bersepadu.
OpenAI dan Anthropic juga dilaporkan sedang memperluaskan platform masing-masing bagi menggabungkan fungsi sembang, penulisan kod dan ejen AI dalam satu aplikasi.