REDMOND: Microsoft mengumumkan komitmen baharu untuk mengoptimumkan sistem operasi Windows 11 bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan lebih lancar pada komputer peribadi (PC) yang dilengkapi 8GB RAM, lapor Amanz.
Inisiatif itu diperkenalkan susulan kekangan bekalan memori global yang memberi kesan kepada industri teknologi, sekali gus menyaksikan lebih banyak komputer riba dan PC pada segmen mampu milik kembali menggunakan konfigurasi 8GB RAM.
Sebelum ini, ramai pemerhati industri menganggap 16GB RAM sebagai konfigurasi yang lebih sesuai bagi memastikan pengalaman penggunaan Windows 11 yang lebih lancar, walaupun keperluan minimum rasmi sistem operasi itu ialah 4GB RAM.
Memandangkan cabaran bekalan memori dijangka berterusan dalam tempoh terdekat, Microsoft mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan penggunaan memori oleh sistem operasi berkenaan, dengan pelaksanaannya dijangka diperkenalkan dengan lebih meluas menjelang penghujung tahun ini.
Antara langkah yang dirancang termasuk memperkemas sistem peruntukan memori teras serta mengoptimumkan komponen Chromium dan WebView2 bagi mengurangkan penggunaan RAM oleh proses latar belakang.
Selain itu, Microsoft turut merancang meningkatkan penggunaan WinUI 3 dalam pelbagai komponen Windows 11 bagi mengurangkan kebergantungan kepada elemen berasaskan WebView2 yang diketahui menggunakan lebih banyak memori, terutama pada peranti spesifikasi rendah dan kelas permulaan.