Ringkasan AI
- Aplikasi MyDigital ID kini menyokong pendaftaran dalam talian menggunakan MyKad generasi baharu selepas kemas kini teknikal dilaksanakan.
- Kemas kini ini membolehkan pengesahan identiti elektronik (eKYC) dan pendaftaran akaun baharu secara digital untuk pemegang MyKad generasi baharu.
- Kini hanya tersedia untuk pengguna Android, sokongan untuk iOS dan Huawei AppGallery akan diperkenalkan selepas fasa ujian selesai.
KUALA LUMPUR: Aplikasi identiti digital nasional, MyDigital ID, telah dikemas kini bagi membolehkan platform itu menyokong pendaftaran dalam talian menggunakan MyKad generasi baharu, lapor Amanz.
Menerusi versi terkini itu, pemegang MyKad generasi baharu kini boleh melaksanakan proses pengesahan identiti pelanggan secara elektronik (eKYC) serta mendaftar akaun baharu secara digital.
Kemas kini teknikal itu sekali gus menyelesaikan masalah pendaftaran yang dihadapi sebahagian pengguna sebelum ini susulan perubahan reka bentuk pada MyKad generasi baharu.
Untuk rekod, MyKad generasi baharu dilancarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 16 September lalu dengan menampilkan reka bentuk yang lebih moden serta peningkatan ciri keselamatan.
Perubahan reka bentuk itu melibatkan penyusunan semula imej pemegang kad dan kedudukan cip, sekali gus memerlukan pelbagai aplikasi pengesahan identiti pihak ketiga mengemas kini sistem masing-masing.
Pengguna MyDigital ID kini boleh memuat turun versi terbaharu aplikasi itu menerusi gedung aplikasi bagi menggunakan kemudahan pengesahan identiti digital yang dipertingkat.
Bagaimanapun, kemas kini berkenaan ketika ini hanya tersedia untuk pengguna Android menerusi Google Play Store.
Pihak pengurusan MyDigital ID berkata sokongan bagi pengguna sistem operasi iOS serta Huawei AppGallery dijangka menyusul dalam masa terdekat sebaik sahaja fasa ujian selesai.