GOOGLE kini akan menguji sebuah ciri sekuriti dan keselamatan baharu, dimana ia akan menghalang pengguna Android di Singapura daripada memasang aplikasi secara muat sisi (sideloading).

Singapura akan menjadi negara pertama yang diuji dengan ciri seumpamanya, sebelum ia dilihat sama ada diperluaskan ke negara lain atau sebaliknya.

Ciri menghalang pemasangan secara muat-sisi ini dibangunkan bersama oleh Google dan juga Cyber Security Agency of Singapore, dalam usaha mengekang masalah keselamatan siber, yang terutamanya berpunca daripada pemasangan aplikasi APK pada peranti Android, tanpa melalui pengesahan sekuriti dan sebagainya.

Mengikut ciri baharu ini, ia akan menghalang pemasangan sekiranya sesuatu aplikasi meminta kebenaran kepada beberapa akses.

Google akan memperkenalkan kemas kini baharu ini secara berperingkat untuk semua peranti Android di Singapura, di mana kemas kini akan ditawarkan melalui Google Play Protect. -Amanz