TAHAP kerjasama antara Samsung dan Perplexity kini terjawab selepas syarikat AI berkenaan mengesahkan integrasi menyeluruh pada sistem operasi siri Galaxy S26.
Pengguna boleh menyeru ejen AI itu menggunakan frasa “Hey Plex” atau dengan menekan butang sisi, menjadikannya sebahagian daripada pengalaman OS secara natif.
Advertisement
Perplexity turut diberikan keupayaan membaca dan menulis terus pada aplikasi teras Samsung seperti Notes, Calendar, Gallery, Clock dan Reminders.
Dengan akses peringkat sistem, Perplexity menjadi syarikat bukan Google pertama menerima keizinan sedemikian pada peranti Galaxy.
Dalam masa sama, Bixby kini memanfaatkan API Perplexity untuk carian masa nyata. Integrasi baharu ini membolehkan Bixby menghasilkan jawapan lebih terkini berasaskan data web semasa.
Samsung Browser juga akan menerima peningkatan dengan pengintegrasian ejen pelayar Perplexity yang menawarkan fungsi carian dan penyelesaian tugasan secara konteks.
Galaxy S26 didatangkan dengan Perplexity terbina tanpa memerlukan muat turun tambahan. Dengan kewujudan Galaxy AI, Gemini dan kini Perplexity, siri S26 menjadi peranti pertama di industri yang menggabungkan tiga ejen AI secara natif.
Data Samsung menunjukkan hampir lapan daripada sepuluh pengguna kini menggunakan lebih daripada dua ejen AI setiap hari, mengukuhkan lagi strategi multi‑ejen Samsung untuk ekosistem mudah alihnya. -Amanz