Skip to main content

Teknologi

Qualcomm sahkan pelancaran dua cip Snapdragon 8 Elite pada 22 Sept

AMANZ
Menerusi kempen acah rasmi bertemakan "Dual 8 Elites", Qualcomm memberi bayangan bahawa kedua-dua cip baharu itu akan menumpukan kepada keupayaan kecerdasan buatan (AI) generatif dan ciri ejen AI autonomi yang diproses terus pada peranti. -Gambar Amanz
Advertisement

MAUI: Qualcomm mengesahkan bakal memperkenal dua cip mudah alih generasi baharu di bawah siri Snapdragon 8 Elite sempena acara tahunan Snapdragon Summit 2026 yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 September ini.

Pengumuman itu merupakan kelainan berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila syarikat berkenaan lazimnya memperkenalkan satu cip mercu untuk telefon pintar dan satu cip premium untuk komputer peribadi (PC).

Menerusi kempen acah rasmi bertemakan "Dual 8 Elites", Qualcomm memberi bayangan bahawa kedua-dua cip baharu itu akan menumpukan kepada keupayaan kecerdasan buatan (AI) generatif dan ciri ejen AI autonomi yang diproses terus pada peranti.

Pendekatan pemprosesan AI dalam peranti dijangka membolehkan respons yang lebih pantas, selain meningkatkan aspek privasi dan keselamatan berbanding pemprosesan berasaskan awan.

Teknologi itu juga berpotensi membolehkan pengguna mengakses fungsi ejen AI yang lebih canggih tanpa memerlukan langganan perkhidmatan awan premium.

Pemerhati industri menjangkakan Qualcomm akan memperkenalkan Snapdragon 8 Elite Gen 6 sebagai model utama bersama satu varian berprestasi lebih tinggi yang dilaporkan dikenali sebagai Snapdragon 8 Elite Gen 6 Pro.

Bagaimanapun, Qualcomm belum mengesahkan nama rasmi bagi kedua-dua cip berkenaan.

Menurut laporan industri, varian Pro itu dijangka menggunakan proses fabrikasi 2 nanometer (2nm) keluaran TSMC, sekali gus menawarkan peningkatan dari segi kecekapan tenaga serta prestasi grafik untuk generasi telefon pintar mercu tanda akan datang. Namun, spesifikasi rasmi hanya akan diumumkan semasa Snapdragon Summit 2026.

Must Watch Video

Advertisement