AUSTIN: Sekumpulan jurutera dari University of Texas berjaya membangunkan sebuah jaket inovatif baharu yang mampu menghasilkan sehingga 900 mililiter air bersih setiap hari dengan hanya menyerap kelembapan daripada udara sekeliling.
Menerusi ciptaan itu, para penyelidik menghasilkan sejenis serat khas yang berfungsi memerangkap wap air dalam atmosfera sebelum memprosesnya menjadi air yang selamat untuk diminum, lapor Amanz.
Berbanding alat penghasilan air konvensional sedia ada, tekstil ini menunjukkan peningkatan kecekapan antara tiga hingga 10 kali ganda berdasarkan skala pengeluaran cecair.
Konsep gentian dan fabrik yang fleksibel ini sekali gus membolehkan lebih banyak aplikasi lapangan dilaksanakan, selain mampu mengurangkan kos logistik serta memudahkan pengagihan bekalan air bersih untuk pelbagai jenis kegunaan.
Walau bagaimanapun, para penyelidik tidak mengehadkan teknologi baharu itu untuk pakaian sahaja, sebaliknya kini sedang memperluas kajian bagi mengintegrasikan serat berkenaan ke dalam peralatan luaran lain seperti beg galas, khemah, dan tempat perlindungan kecemasan.
Langkah berkenaan membolehkan barangan harian yang dibawa oleh orang ramai berfungsi sebagai alat pengumpul air mudah alih dari gelora udara sekeliling, sekali gus membantu dalam situasi kecemasan atau aktiviti luar talian di kawasan pedalaman.
Gentian inovatif ini dilapor sudah dipatenkan unit komersialisasi University of Texas bagi tujuan pembangunan dan pengeluaran secara komersial pada masa depan.