SEOUL: Samsung dilapor sedang membangunkan fon telinga tanpa wayar baharu dengan reka bentuk klip terbuka yang menyerupai subang, berdasarkan maklumat yang ditemui dalam aplikasi rasmi Galaxy Wearable milik syarikat itu, lapor Amanz.
Peranti yang dikaitkan dengan nama Galaxy Buds On, Galaxy Buds Able atau Galaxy Able itu dijangka dipasang pada bahagian luar telinga pengguna menerusi reka bentuk klip tanpa memasuki salur telinga seperti fon telinga konvensional.
Imej yang tertiris menunjukkan fon telinga berkenaan menggunakan reka bentuk audio terbuka (open-ear) yang membolehkan pengguna masih mendengar bunyi persekitaran ketika menggunakannya.
Reka bentuk itu dilihat menyerupai beberapa produk sedia ada dalam pasaran termasuk Huawei FreeClip dan Bose Ultra Open Earbuds yang turut menggunakan konsep fon telinga klip terbuka.
Jika diperkenalkan, ia bakal menjadi produk fon telinga klip pertama Samsung, sekali gus menandakan kemasukan syarikat itu ke dalam segmen audio terbuka yang semakin mendapat perhatian pengguna.
Laporan industri menunjukkan Samsung berkemungkinan melancarkan peranti itu bersama model Galaxy S26 FE pada akhir tahun ini, meskipun syarikat berkenaan masih belum mengesahkan tarikh pelancarannya secara rasmi.
Menurut maklumat yang tertiris, fon telinga tersebut dijangka menggunakan teknologi audio terbuka berasaskan penghantaran bunyi melalui udara (air-conduction) dan bukannya teknologi pengaliran tulang (bone conduction) seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini.