KUALA LUMPUR: Larangan penggunaan media sosial terhadap individu bawah usia 16 tahun tidak akan menyelesaikan sepenuhnya risiko keselamatan dalam talian sekiranya penyedia platform sendiri tidak mengambil tanggungjawab lebih besar dalam melindungi pengguna.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, tumpuan kini tidak seharusnya hanya diberikan kepada penguatkuasaan kerajaan atau kawalan di peringkat pengguna, sebaliknya perlu turut melihat peranan syarikat teknologi yang mengendalikan platform berkenaan.
Menurutnya, kerajaan telah mengambil langkah melalui pembentukan undang-undang dan mekanisme kawal selia, manakala pengguna serta media pula memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber.
Namun, katanya, penyedia platform masih menjadi pihak utama yang perlu dipertanggungjawabkan memandangkan pelbagai ancaman berlaku dalam ekosistem yang mereka kendalikan.
“Bagi saya, tanggungjawab platform adalah subjek yang paling penting hari ini.
“Dalam kita membincangkan apa sahaja ancaman dan isu, akhirnya mereka tetap meraih laba dan keuntungan yang sangat besar setiap tahun.
“Sebab itu platform perlu lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah ini kerana masalah itu berlaku di dalam platform mereka,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Sekat bawah 16 tahun sahaja tak cukup, platform juga perlu berubah - Penganalisis
Siraj berkata, tanggungjawab berkenaan perlu merangkumi usaha pendidikan kepada pengguna, peningkatan keselamatan serta ketelusan mengenai bagaimana sesebuah platform beroperasi.
Menurutnya, pendekatan itu penting supaya usaha melindungi golongan muda tidak hanya bergantung kepada sekatan umur atau tindakan penguatkuasaan kerajaan.
Dalam temu bual sama, Profesor Rangkaian Komputer dan Keselamatan Siber, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Ts. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain pula berkata, sekatan terhadap platform tertentu juga tidak bermakna golongan bawah umur terputus sepenuhnya daripada risiko dalam talian.
Ini kerana kanak-kanak dan remaja masih boleh beralih kepada platform lain yang tidak tertakluk kepada sekatan sama.
“Kalau kita sekat macam mana pun, anak-anak masih lagi terdedah kepada platform-platform lain yang tidak disekat, namun mereka boleh akses,” katanya.
Justeru, Zuriati berkata, penyedia platform antarabangsa yang beroperasi di Malaysia perlu menyesuaikan operasi mereka dengan keperluan tempatan termasuk undang-undang, bahasa serta konteks budaya masyarakat negara ini.
Katanya, platform juga perlu mempunyai keupayaan mengenal pasti bentuk penyalahgunaan dalam talian yang berlaku dalam konteks tempatan serta menyediakan mekanisme pelaporan yang berkesan di peringkat nasional.
“Yang pentingnya, platform itu beroperasi mengikut keperluan undang-undang negara, mengikut keperluan bahasa negara, konteks budaya setempat negara dan seterusnya mengenal pasti bentuk penyalahgunaan dalam talian di peringkat tempatan.
“Seterusnya melakukan pelaporan di peringkat nasional secara tuntas,” katanya.
Zuriati pada masa sama tidak menolak kemungkinan pembangunan platform media sosial tempatan sebagai antara pendekatan jangka panjang untuk membentuk ekosistem digital yang lebih dekat dengan keperluan masyarakat Malaysia.
Menurutnya, meskipun sebahagian besar platform yang digunakan ketika ini dimiliki syarikat antarabangsa, pembangunan penyelesaian tempatan berpotensi memberi ruang kepada aspek keselamatan dan kebajikan pengguna, khususnya kanak-kanak, ditangani berdasarkan realiti negara.
SAgenda AWANI: Larangan Media Sosial | Sejauh Mana Keberkesanannya?