Skip to main content

Teknologi

Valve sahkan pembangunan Steam Deck 2 tidak terjejas krisis memori global

[TB]_Steam Deck 2_AMANZ
Steam Deck 2 dijangka mengekalkan penggunaan AMD APU tersuai bagi memudahkan proses pembangunan dan pengoptimuman perisian. -Foto Amanz
Advertisement

BELLEVUE: Pembangunan konsol permainan mudah alih generasi kedua, Steam Deck 2, dilaporkan berjalan seperti dirancang meskipun pasaran global berdepan cabaran bekalan komponen memori, lapor Amanz.

Valve sebelum ini dilaporkan telah memulakan proses pembangunan serta reka bentuk konsol berkenaan, yang dijangka diperkenalkan sekitar 2028.

Dua jurutera perisian Valve, Pierre-Loup Griffais dan Jeff Leinbaugh, berkata syarikat itu setakat ini tidak berdepan sebarang kekangan bekalan komponen memori yang boleh menjejaskan pembangunan peranti tersebut.

Kenyataan itu sekali gus meredakan kebimbangan dalam kalangan pemerhati industri mengenai kemungkinan gangguan rantaian bekalan yang boleh menjejaskan pengeluaran perkakasan permainan pada masa depan.

Walau bagaimanapun, butiran mengenai cip yang bakal digunakan masih belum didedahkan.

Steam Deck 2 dijangka mengekalkan penggunaan AMD APU tersuai bagi memudahkan proses pembangunan dan pengoptimuman perisian.

Sebagai rekod, Steam Deck generasi pertama dikuasakan cip AMD berkod nama "Aerith" yang dibangunkan khusus menerusi kerjasama antara Valve dan AMD.

Valve masih belum mendedahkan tarikh pelancaran rasmi atau spesifikasi penuh Steam Deck 2.

Berdasarkan trend pasaran perkakasan semasa serta peningkatan kos pembangunan komponen berprestasi tinggi, konsol berkenaan dijangka ditawarkan dalam segmen premium apabila dilancarkan kelak.

Must Watch Video

Advertisement