MICROSOFT mengesahkan penjenamaan semula Xbox Full Screen Experience kepada Xbox Mode, dan ciri baharu ini bakal dilancarkan kepada pengguna Windows 11 bermula April ini, lapor Amanz.
Xbox Mode sebelum ini diperkenalkan pada peranti mudah alih seperti ROG Xbox Ally bagi menawarkan pengalaman antara muka konsol Xbox pada peranti Windows.
Advertisement
Menerusi Xbox Mode, PC Windows 11 akan dilancarkan terus ke antara muka konsol tanpa perlu menggunakan tetikus atau papan kekunci, kerana ia direka sepenuhnya untuk kawalan alat permainan.
Ia turut mengurangkan proses latar belakang bagi meningkatkan prestasi ketika permainan dilancarkan.
Antara muka tersebut menawarkan akses pantas kepada stor permainan, senarai permainan terpasang, Game Pass serta perpustakaan pihak ketiga termasuk Steam dan Epic Games Store.
Pengguna juga boleh menekan gabungan kekunci Windows+Tab untuk kembali ke desktop Windows tanpa perlu memulakan semula PC.
Microsoft turut mengaitkan pelancaran Xbox Mode dengan hala tuju konsol generasi baharu di bawah projek Project Helix, yang bakal menyatukan pengalaman konsol dan PC.
Konsol ini akan menggunakan cip AMD tersuai, menyokong permainan PC dan Xbox, serta mengekalkan keserasian ke belakang untuk empat generasi permainan.
Dev kit awal dijadual dihantar kepada pembangun pada 2027.