KUALA LUMPUR: Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2026 yang bakal berlangsung pada 26 hingga 28 Ogos 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dilihat sebagai platform strategik untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi perubatan, inovasi dan kecemerlangan regulatori di rantau ini.
Menurut Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Ts. Dr. Muralitharan Paramasua, IMDEC 2026 bukan sekadar pameran teknologi perubatan, sebaliknya menjadi platform bagi perkongsian ilmu, perbincangan strategik dan pembentukan kerjasama berkaitan masa depan teknologi perubatan.
Beliau berkata, IMDEC 2026 yang bertemakan “Revolutionizing Medical Technology: Powering Tomorrow’s Era of Healthcare” menghimpunkan pelbagai pihak dalam ekosistem peranti perubatan, termasuk badan regulatori, pembuat dasar, pemain industri, pelabur, penyelidik, institusi akademik, profesional penjagaan kesihatan serta syarikat teknologi perubatan dari dalam dan luar negara.
Katanya, penganjuran IMDEC 2026 turut menyokong aspirasi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi perubatan dan destinasi utama pelaburan sektor berkenaan di rantau ini.
“Malaysia kini mempunyai asas yang kukuh dalam industri peranti perubatan dengan lebih 200 pengeluar, manakala lebih 30 syarikat multinasional telah memilih negara ini sebagai hab pembuatan mereka.
“Sehingga Mei 2025, sebanyak 609 syarikat turut dilesenkan oleh MDA sebagai pembuat peranti perubatan.
“Dalam tempoh 2015 hingga 2025, industri itu telah mewujudkan hampir 132,000 peluang pekerjaan, selain merekodkan pelaburan domestik dan asing berjumlah RM22.8 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025,” jelasnya.
Dr. Muralitharan berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan industri peranti perubatan bukan sahaja penting kepada sektor kesihatan, malah mempunyai potensi besar terhadap pertumbuhan ekonomi dan pelaburan negara.
Justeru, Malaysia perlu bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai industri melalui pengukuhan inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan teknologi serta peningkatan keupayaan syarikat tempatan.
Pada masa sama, inovasi teknologi perubatan perlu bergerak seiring dengan standard kawal selia yang kukuh, termasuk usaha mengharmonikan standard antarabangsa dan memastikan pematuhan terhadap keperluan kawal selia global.
“Kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi penyelidikan juga penting bagi memastikan pembangunan teknologi dapat diterjemahkan kepada sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik dan mampan,” tambahnya.
IMDEC 2026 dijangka menarik lebih 6,800 penyertaan secara kumulatif, dengan kira-kira 2,200 peserta setiap hari, selain menampilkan lebih 160 syarikat pempamer dan 50 penceramah pakar dari Malaysia serta pelbagai negara.
Penganjuran itu turut disokong beberapa acara sampingan termasuk Persidangan Antarabangsa bagi Inovasi dalam Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Hayat (INNOMed), MEDIC26, Forum Kawal Selia Peranti Perubatan 2026 serta Pameran Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan Malaysia.
Gabungan acara berkenaan dijangka mewujudkan sinergi lebih kukuh antara industri, akademia dan badan kawal selia, selain membuka ruang kepada pelabur untuk memahami ekosistem Malaysia, meneroka kerjasama dan mengenal pasti peluang pelaburan.
Bagi syarikat tempatan pula, IMDEC 2026 menyediakan peluang untuk membina kerjasama antarabangsa, mendapatkan akses kepada pemindahan teknologi dan memperluaskan pasaran eksport.
Dalam pada itu, pasaran peranti perubatan global dianggarkan bernilai sekitar AS$572 bilion pada 2025 dan dijangka berkembang kepada AS$1.03 trilion menjelang 2034.
Dr. Muralitharan berkata, perkembangan pasaran global itu menunjukkan terdapat peluang besar untuk Malaysia, namun negara perlu terus memperkukuh keupayaan dan daya saing industri tempatan bagi memanfaatkan potensi berkenaan.
Melalui IMDEC 2026, Malaysia menyasarkan untuk menarik lebih banyak pelaburan, memperluaskan eksport produk peranti perubatan tempatan, meningkatkan kerjasama antarabangsa serta mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem teknologi perubatan negara.
Beliau berkata, IMDEC 2026 bukan sekadar sebuah pameran dan persidangan selama tiga hari, sebaliknya sebahagian daripada usaha strategik jangka panjang untuk membangunkan sektor teknologi perubatan bernilai tinggi dan berteraskan inovasi.
"Usaha itu bukan sahaja berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah menyokong pembangunan sistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan dan berteknologi tinggi untuk masa hadapan," katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Rabu.