Skip to main content
Advertisement

Berita

JobCare Selangor diperluas ke sembilan daerah, lebih 10,000 dapat manfaat

papparaidu veraman
Papparaidu berkata pendekatan itu membolehkan peluang pekerjaan dibawa terus ke komuniti, sekali gus mengurangkan keperluan pencari kerja untuk mendapatkan peluang pekerjaan di lokasi pusat. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Program Karnival Jelajah JobCare Selangor diperluas ke semua sembilan daerah bagi memastikan peluang pekerjaan dapat diakses dengan lebih mudah oleh pencari kerja di seluruh Selangor.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman, berkata pendekatan itu membolehkan peluang pekerjaan dibawa terus ke komuniti, sekali gus mengurangkan keperluan pencari kerja untuk mendapatkan peluang pekerjaan di lokasi pusat.

“Kami bergerak ke seluruh sembilan daerah di Selangor, bermula dari Sabak Bernam hingga ke Ampang. Jadi, kami meliputi seluruh daerah dan turun padang secara terus ke komuniti. Kami pergi ke setiap daerah untuk mempromosikan peluang pekerjaan yang tersedia.

"Kadangkala, lebih 70 hingga 80 peratus peluang pekerjaan yang ditawarkan diisi oleh pencari kerja dari kawasan itu sendiri. Ini kerana sejak awal lagi, perancangan saya adalah untuk memastikan seseorang yang tinggal di Sabak Bernam tidak perlu pergi bekerja di Ampang. Itu juga satu isu, kerana mereka perlu berulang-alik, dan ini melibatkan kos tambahan, kesesakan lalu lintas, bayaran tol serta perbelanjaan parkir.

“Sebab itu kami memperkenalkan program Jelajah JobCare di setiap daerah di seluruh negeri. Kami bergerak dari satu daerah ke satu daerah untuk mempromosikan peluang pekerjaan tempatan yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka, khususnya dalam sektor peruncitan. Kedai-kedai seperti 99 Speedmart juga banyak membantu kami dalam usaha ini,” katanya ketika muncul dalam program Investment Insider, pada Isnin.

Beliau berkata, sejak 2022, lebih 10,000 individu telah mendapat pekerjaan menerusi karnival kerjaya berkenaan.

Menurutnya, Program Karnival Jelajah JobCare Selangor turut merangkumi dua subprogram, iaitu Mega JobCare Selangor 2026 Bersama MyFutureJobs dan Selangor Career Outreach (SCOUT) Talent Expo 2026.

Bagi Mega JobCare Selangor 2026, seramai 147 majikan menawarkan lebih 11,000 kekosongan pekerjaan, manakala lebih 20,000 pengunjung menghadiri program berkenaan.

Sehingga minggu lalu, seramai 2,328 calon telah mendapat pekerjaan, manakala 2,435 calon lagi mara ke peringkat temu duga pusingan kedua.

Papparaidu berkata, tumpuan kerajaan negeri bukan sekadar kepada jumlah pengunjung yang hadir ke karnival kerjaya, sebaliknya turut melihat kepada hasil sebenar dari segi penempatan pekerjaan dan kualiti peluang yang ditawarkan.

“Angka-angka ini menunjukkan bahawa tumpuan kami bukan semata-mata kepada jumlah individu yang menghadiri karnival kerjaya, tetapi juga kepada hasil pekerjaan sebenar serta peluang pekerjaan yang lebih berkualiti.”

Beliau berkata, 98.4 peratus daripada lebih 11,000 kekosongan yang ditawarkan pada Mega JobCare Selangor 2026 adalah bagi jawatan di Selangor, manakala 62.2 peratus menawarkan gaji melebihi RM3,000.

Tambahnya, inisiatif berkenaan juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem pekerjaan yang lebih menyeluruh, dengan JobCare berperanan menghubungkan pencari kerja dengan peluang pekerjaan dan majikan.

Menurutnya lagi, pendekatan bersepadu itu bertujuan memastikan rakyat bukan sahaja mengetahui kewujudan peluang pekerjaan, malah mempunyai persediaan, hubungan dengan majikan dan akhirnya ditempatkan dalam pekerjaan yang bersesuaian.

Must Watch Video

Advertisement