Skip to main content
Advertisement

Berita

"Saya tak sangka dia akan meninggal dunia hari ini..." - Rintihan hiba Tun M rungkai detik perpisahan terakhir

SERI KEMBANGAN, 28 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan menziarahi jenazah Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali di kediaman Allahyarhamah di sini hari ini. -- FB Kesultanan Pahang
Video dikongsi Tun Dr Mahathir memaparkan detik pilu perpisahan dengan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Advertisement

KUALA LUMPUR: "I didn't expect her to die... today. She was quite well last night" ("Saya tidak sangka dia akan meninggal dunia... hari ini. Keadaannya agak baik malam tadi").

Demikian luahan sayu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tatkala menerima keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, merungkai rasa terkejut dan duka yang amat mendalam atas pemergian permaisuri hatinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang meninggal dunia pada Isnin.

Kenyataan yang meruntun jiwa itu dizahirkan menerusi satu bingkisan video terbaharu yang dikongsikan oleh Dr Mahathir, merekodkan saat-saat memilukan sepanjang proses pengurusan jenazah hingga ke Istiadat Pengebumian Pembesar Negara yang berlangsung semalam.

Menerusi perkongsian video berkenaan, seluruh rakyat dibawa menyelami sisi paling rapuh seorang negarawan yang baru sahaja kehilangan teman hidupnya selama lebih tujuh dekad. Di ruang tamu kediaman peribadi mereka, kelihatan Tun Dr Mahathir sugul di atas kerusi roda ditenangkan oleh ahli keluarga.

Dalam suasana yang diiringi alunan ayat suci Al-Quran dan selawat, anakandanya, Tan Sri Mokhzani dilihat tidak dapat menahan air mata lalu mencium tangan bapanya dalam keadaan sebak, sementara Datin Paduka Marina melutut sayu menemani jenazah ibunda tercinta.

Kehilangan 'Ibu Bangsa' ini nyata meruntun hati institusi diraja. Video itu merakamkan momen bermakna apabila Al-Sultan Abdullah berserta Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah dan Tengku Mahkota Pahang meluangkan masa menyantuni dan memujuk Tun Dr. Mahathir di meja makan.

"Allah lebih menyayanginya... Tapi Tun kena jaga diri Tun," titah Al-Sultan Abdullah yang sarat dengan empati.  
Dalam pada itu, pemergian tokoh wanita ulung ini juga menyaksikan penyatuan seteru politik tanah air.

Kehadiran pemimpin tertinggi negara dari pelbagai latar belakang politik, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Ismail Sabri, membuktikan betapa besarnya rasa hormat terhadap Allahyarhamah yang melangkaui sempadan politik.

Menjelang akhir video, detik paling hiba dirakamkan di Pusara Negara, Presint 20. 

Walaupun kudratnya terbatas di atas kerusi roda, Tun Dr Mahathir dengan perlahan menyiram air mawar dan menaburkan kelopak bunga di atas pusara isteri tercinta, sambil dibantu oleh anakandanya, Datuk Seri Mukhriz.

Walaupun jasad Allahyarhamah telah selamat disemadikan semalam, bingkisan video memilukan itu akan terus menjadi saksi kepada sebuah kisah cinta agung dan legasi luar biasa yang ditinggalkan oleh sosok bernama Hasmah di hati setiap rakyat Malaysia.

Untuk rekod, Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 28 September 2026.

Jenazah Allahyarhamah telah diurus, dimandikan dan disembahyangkan di Masjid As-Syarif, di mana ahli keluarga, pemimpin negara, serta rakyat jelata berkumpul untuk memberikan penghormatan terakhir dan menunaikan solat jenazah.

Selesai urusan di masjid, keranda jenazah yang dibalut dengan bendera Jalur Gemilang dibawa dalam satu perarakan pedati menuju ke Putrajaya. 

Jenazah Allahyarhamah selamat disemadikan dengan penuh penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara, Presint 20 semalam.

Istiadat sayu di tanah perkuburan tersebut turut disaksikan oleh kerabat diraja dan orang kenamaan kenamaan. Antara yang berkenan berangkat mencemar duli ke pusara ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut berangkat memberikan penghormatan terakhir ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama isteri, Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda.

Selain itu, majlis pengebumian tersebut turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, berserta beberapa wakil rasmi kerajaan luar negara dan barisan menteri kabinet yang hadir bagi mewakili kerajaan memberi penghormatan tertinggi buat 'Ibu Bangsa' tersebut.   
 

Must Watch Video

Advertisement