KUALA LUMPUR: "Daddy betul-betul tak sangka begitu ramai yang sanggup menyumbang. I would never force it on anyone."
Datuk Seri Najib Razak menyatakan perkara itu ketika dilawati keluarganya pada Sabtu, selepas mengetahui kesediaan orang ramai memberikan sumbangan bagi tujuan pembayaran denda RM50 juta.
Perkara itu dikongsikan anaknya, Nooryana Najwa, menerusi hantaran di Instagramnya pada Ahad, yang turut meluahkan penghargaan kepada semua pihak yang mengambil berat mengenai keadaan bekas Perdana Menteri itu dan keluarganya.
Menurut Nooryana Najwa atau dikenali sebagai Yana, buat masa ini ayahnya itu masih belum dibenarkan pulang ke kediamannya, susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang menetapkan tahanan rumah tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta terlebih dahulu.
"Kami sekeluarga menghormati sepenuhnya keputusan tersebut," katanya.
Beliau memberitahu, sekiranya jumlah RM50 juta berjaya dikumpulkan melalui sumbangan sukarela Tabung Solidariti DSN, urusan pembayaran dan proses seterusnya akan dilaksanakan menerusi saluran rasmi.
Yana berkata, beliau difahamkan bayaran denda perlu dibuat kepada mahkamah terlebih dahulu sebelum resit pembayaran diserahkan kepada pihak penjara.
"Mahkamah kemudiannya akan mengeluarkan resit pembayaran, dan resit tersebut akan diserahkan kepada pihak penjara. Barulah pihak penjara boleh mengeluarkan ‘release order’ untuk proses tahanan rumah," ujarnya.
Dalam pada itu, Yana turut merakamkan penghargaan kepada UMNO yang menerajui Tabung Solidariti berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO itu menegaskan, setiap sumbangan adalah secara sukarela dan mengikut kemampuan masing-masing, tanpa paksaan atau kewajipan kepada mana-mana pihak.
"Kami sekeluarga amat tersentuh dengan usaha UMNO menerajui Tabung Solidariti ini.
"DSN (Datuk Seri Najib) tidak pernah mahu menyusahkan parti mahupun rakyat," jelasnya.
Yana turut berkongsi ketika keluarga melawat ayahnya pada Sabtu, beliau berulang kali meluahkan rasa terharu melihat kesanggupan orang ramai memberikan sumbangan.
Dalam perkongsian sama, Yana turut memuat naik rakaman video memaparkan pintu masuk utama Penjara Kajang, tempat bekas Perdana Menteri itu sedang menjalani hukuman.