KUALA LUMPUR: Di sebalik hiasan kertas merah memaparkan aksara melambangkan kemakmuran dan kesejahteraan pada sambutan Tahun Baharu Cina, seni kaligrafi itu sebenarnya menuntut disiplin tinggi, ketekunan dan latihan berterusan.
Setiap sapuan berus yang membentuk aksara bukan sekadar gerakan tangan, tetapi memerlukan kawalan pernafasan, imbangan tubuh serta kepekaan terhadap struktur tulisan kerana kesilapan kecil boleh menjejaskan keseluruhan komposisi.
Advertisement
Presiden Gabungan Persatuan Kaligrafi Malaysia Ng Swee Kheng berkata penguasaan seni itu memerlukan latihan konsisten dan komitmen jangka panjang memandangkan setiap aksara mempunyai struktur serta teknik tersendiri.
“Kaligrafi perlu dipraktikkan selalu. Kalau lama tidak menulis, tangan jadi kurang mahir. Saya belajar sejak usia 15 tahun dan sehingga kini masih meluangkan empat hingga lima jam sehari untuk berlatih,” katanya kepada Bernama.
Ng berkata demikian semasa ditemui pada Sesi Demonstrasi Kaligrafi Cina sempena Festival Titih Pusaka 2026 anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) baru-baru ini.
Beliau berkata disiplin latihan itu penting bagi memastikan seni kaligrafi terus dipelihara dan kekal relevan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Perkembangan positif itu, menurut Ng dapat dilihat menerusi penganjuran Karnival Kaligrafi Dunia Kuala Lumpur 2024 dan Konvensyen Kaligrafi Huichun Nasional 2026 pada awal bulan ini yang menghimpunkan ribuan peminat kaligrafi daripada pelbagai latar belakang.
“Matlamat kami untuk menjadikan seni tulisan ini, tidak kira Cina, Rumi, Jawi mahupun Tamil sebagai milik seluruh rakyat Malaysia,” katanya yang berpengalaman lebih empat dekad dalam bidang tersebut.
Susulan sambutan memberangsangkan itu, Ng berkata pihaknya merancang menganjurkan pameran khas sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-70 tahun hadapan bagi menonjolkan kepelbagaian seni kaligrafi sebagai simbol perpaduan negara.
“Saya mahu semua kaum bersama-sama menulis tema kemerdekaan kerana kaligrafi bukan lagi milik satu bangsa tetapi mencerminkan semangat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata kaligrafi Cina di Malaysia kini mempunyai identiti tersendiri apabila unsur tempatan seperti batik dan puisi Melayu turut diterapkan dalam karya.
“Saya pernah menterjemahkan puisi Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Usman Awang ke bahasa Cina dan menulisnya dalam bentuk kaligrafi untuk diperkenalkan di luar negara.
“Apabila dipamerkan di China, mereka bertanya mengapa gaya ini berbeza daripada tulisan dinasti Qing atau Tang. Saya jelaskan ia puisi Melayu yang diterjemahkan dan itu identiti Malaysia,” katanya.
Sementara itu, peserta bengkel Gunasegar MKK Wologanathan, 61, berkata penyertaannya memberi peluang meneroka seni budaya yang berbeza.
“Ini kali pertama saya mencuba kaligrafi Cina dan saya berasa gembira dapat mempelajari seni baharu. Pada saya, kaligrafi boleh dipelajari oleh semua dan menjadi medium untuk saling memahami budaya,” katanya.
Pelajar Malaysian Institute of Art Amina Alia Mohd Syukri, 21, berkata seni kaligrafi wajar dipelihara kerana mempunyai nilai warisan dan estetika yang tinggi.
“Semasa kecil memang saya minat kaligrafi kerana belajar di sekolah Cina. Bila nampak ada bengkel, saya rasa mahu mencuba semula selepas lama tinggalkannya,” katanya.
-- BERNAMA