Ringkasan AI
- Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijadualkan mula beroperasi 12 Disember, menghubungkan Lembah Klang dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang.
- Masa perjalanan ke Kota Bharu dipendekkan kepada kira-kira empat jam, berbanding sekurang-kurangnya enam jam setengah dengan memandu.
- ECRL menawarkan 20 stesen, kemudahan moden seperti tandas, surau dan kafeteria, serta harga tiket sehala bermula RM24 untuk perjalanan transit.
KUALA LUMPUR: Perjalanan dengan memandu ke pantai timur Semenanjung, khususnya Kelantan yang lazimnya mengambil masa berjam-jam, bakal tinggal sejarah apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) beroperasi, dijangka bermula pertengahan bulan depan, menghubungkan Lembah Klang dengan wilayah itu.
Tidak hanya memendekkan masa perjalanan kepada kira-kira hanya empat jam untuk perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan, mereka yang menggunakan perkhidmatan ini dapat melakukan pelbagai aktiviti sepanjang perjalanan.
Berpeluang merasai sendiri pengalaman menaiki tren itu menerusi program uji tren baru-baru ini, penulis yang pertama kali berkunjung ke negeri Cik Siti Wan Kembang bertolak dari Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada 7 pagi dan tiba di stesen Kota Bharu pada 11 pagi.
Sesuatu yang menakjubkan kerana, menurut teman-teman yang pernah memandu ke Kota Bharu, perjalanan biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya enam jam setengah pada hari-hari biasa, bergantung pada keadaan trafik.
Selain itu, pelbagai kemudahan yang disediakan termasuk tandas, surau dan kafeteria, menjadikan perjalanan lebih selesa.
Tempat duduk yang selesa dan ergonomik, meja lipat serta soket elektrik yang disediakan membolehkan penumpang menggunakan komputer riba untuk bekerja atau menyiapkan tugasan, sesuatu yang sukar dilakukan ketika memandu atau menaiki kenderaan sendiri.
Tambahan pula tren hanya bergerak pada kelajuan maksimum 160 kilometer sejam, sekali gus mengurangkan gegaran dan memberikan persekitaran kondusif untuk penumpang melakukan aktiviti.
Penulis sendiri berpeluang memanfaatkan kemudahan berkenaan untuk menyiapkan dan menghantar laporan berita menggunakan komputer riba sebelum tren tiba di destinasi.
Senada, penumpang Mohd Safuan Salahudin, 41, menyifatkan pemandangan alam semula jadi yang mempesona dan suasana perkampungan yang mendamaikan sepanjang perjalanan sebagai antara tarikan menaiki ECRL.
“Perjalanan ini sangat baik. Pada waktu pagi, kita dapat melihat pemandangan alam semula jadi dan suasana kampung. Bagi mereka yang sukakan alam semula jadi, pemandangan seperti ini memang menarik,” katanya.
Jurugambar yang berkhidmat dengan syarikat teknologi pengimejan itu turut memuji kemudahan yang disediakan termasuk ruang tandas yang selesa.
Bagi pensyarah Mohd Ridhuan Ismail, 45, ECRL bukan sekadar pilihan untuk memendekkan perjalanan, sebaliknya berpotensi menjadi pengangkutan hariannya selepas hampir tiga tahun berulang-alik antara Kuantan dan Dungun melibatkan jarak 270 km pergi-balik.
“Pada tahun pertama saya berulang-alik, saya mengalami kemalangan dengan kereta saya mengalami kerosakan teruk dan dikategorikan sebagai ‘total loss’,” katanya yang berharap jadual perjalanan bakal sesuai dengan waktu ketibaan di tempat kerja.
Beliau menyifatkan perkhidmatan itu sebagai alternatif yang dinanti-nantikan kerana berpotensi menangani keletihan akibat memandu dalam jarak jauh selain menjimatkan kos dalam jangka panjang.
Rangkaian ECRL sepanjang 665 km menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dijadualkan beroperasi secara rasmi bermula 12 Dis depan dengan harga tiket sehala bermula pada RM24 bagi perjalanan transit.
Perkhidmatan ini mempunyai 20 buah stesen dengan 16 stesen akan beroperasi pada fasa pertama dan bakinya dijangka beroperasi pada fasa dua (Januari 2028), melibatkan liputan Gombak ke Pelabuhan Klang.
-- BERNAMA