Skip to main content

Malaysia

'Isteri diserang sawan pada hari nak balik Malaysia, sekarang masih koma'

SHAH ALAM - Percutian pasangan berkahwin bertukar duka apabila isteri diserang sawan secara tiba-tiba dan kini masih koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Nhan Dan Gia Dinh, Vietnam.
Gambar kenangan Mohd Jamri dan Rohana ketika bercuti. Foto ihsan/ Mohd Jamri Herry. - Foto Mingguan Wanita/Sinar Harian

SHAH ALAM: Percutian satu pasangan bertukar duka apabila isteri diserang sawan secara tiba-tiba dan kini masih koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Nhan Dan Gia Dinh, Vietnam.

Memetik Mingguan Wanita, Mohd Jamri Herry, 40, berkata, isterinya, Rohana Joseph, 34, dimasukkan ke hospital berkenaan akibat diserang sawan sebelum solat Subuh kira-kira jam 4 pagi pada Selasa lalu, iaitu hari mereka sepatutnya berangkat pulang ke tanah air.

Advertisement

Menurut pemuda asal Kota Kinabalu, Sabah itu, sehingga kini Rohana belum sedarkan diri tetapi dilaporkan dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, Mohd Jamri berkata, dia mahu isterinya dibawa pulang ke tanah air kerana bimbang tidak mampu membayar bil hospital di Vietnam memandangkan dirinya sudah kehabisan wang simpanan.

“Saya dan isteri buat percutian ke Vietnam bermula 16 hingga 21 April lalu. Ikutkan ini trip percutian isteri dan rakannya, tetapi dia ajak saya ikut bersama.

"Sepanjang tempoh percutian ke Ho Chi Minh, isteri sihat dan tak tunjukkan tanda akan sakit atau mengadu sakit kepala. Namun, dia diserang sawan pada hari kami nak balik ke Malaysia.

"Sepatutnya nak bertolak ke lapangan terbang jam 8 pagi kerana penerbangan 1 tengah hari, tapi tak jadi kerana isteri dimasukkan ke hospital. Mungkin ALLAH SWT takdirkan saya ikut sama untuk ada dengan isteri waktu dia memerlukan,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Mohd Jamri yang bekerja di Majlis Sukan Negeri Sabah memaklumkan, dia masih berada di hospital buat masa sekarang, tetapi hanya dibenarkan melawat isteri sekali sehari.

Menurut Mohd Jamri, dua anaknya yang berusia empat dan tujuh tahun kini di bawah jagaan keluarganya serta mentua.

“Saya tak boleh menemani isteri setiap masa kerana waktu melawat jam 6 petang hingga 7 malam sahaja.

"Itupun kena masuk wad macam biasa tapi mesti pakai pelitup muka. Berat ujian ini tapi saya kena kuatkan mental dan cuba untuk reda.

"Buat masa ini, saya tiada maklumat berapa jumlah bil hospital perlu dibayar kerana hanya akan tahu selepas dibenarkan keluar nanti. Namun, semakin lama di sini, bil pasti lebih tinggi memandangkan isteri bukan orang tempatan,” ujarnya.

Mohd Jamri berkata, pihak hospital tiada halangan untuk membenarkan isterinya dibawa pulang ke tanah air.

“Cuma saya sebagai suami dan waris terdekat kena tanggung risikonya. Saya sedia dengan segala kemungkinan asalkan isteri dibawa pulang ke tanah air bagi meneruskan rawatan di sana.

"Minta jasa baik orang ramai untuk mendoakan isteri saya supaya kembali sembuh,” katanya lagi.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7079522163 atas nama Mohd Jamri Herry. - Sinar Harian

 

Must Watch Video