Skip to main content

Malaysia

Les Chanteurs cipta hatrik, raih emas tiga tahun berturut-turut

Les Chanteurs Senior raih emas dalam kategori Children's Choir (Championship) menerusi lagu bertenaga, Singkap Siaga dan Nara sempena MCE-ICF 2026 yang berlangsung di Menara KEN, Taman Tun Dr Ismail.
Les Chanteurs Senior raih emas dalam kategori Children's Choir (Championship) menerusi lagu bertenaga, Singkap Siaga dan Nara sempena MCE-ICF 2026 yang berlangsung di Menara KEN, Taman Tun Dr Ismail. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pasukan koir Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1), Les Chanteurs terus mengharumkan nama negara untuk tahun ketiga berturut-turut dengan meraih gelaran Juara Kategori dan tiga emas di Malaysian Choral Eisteddfod (MCE) - International Choir Festival (ICF) 2026 yang berlangsung pada 19-23 Ogos.

Bagi edisi tahun lalu Les Chanteurs meraih dua emas dan satu perak di MCE-ICF.

Les Chanteurs yang diwakili dua kumpulan senior dan junior menampilkan keunikan penyampaian persembahan tersendiri dan bertenaga dalam tiga kategori iaitu kategori Children's Choir (Championship) dan Pop Vocal Ensemble untuk senior manakala kategori Young Children’s Choir (Open), bagi junior.

Konduktor Azahar Abdullah yang memimpin pasukan senior berkata, 2026 adalah tahun ketiga Les Chanteurs Senior menyertai pertandingan MCE-ICF, dan tahun ini sekali lagi mengekalkan penyertaan dalam dua kategori, iaitu Children’s Choir.

“Bagi kategori Pop Vocal Ensemble, ini merupakan kali kedua Les Chanteurs Senior menyertainya. Syukur tahun ini kami berjaya meraih kemenangan emas  Juara Kategori dengan taruhan lagu 'Believer' serta 'Jiwa Muda'. Tahun lalu kami meraih emas, malah turut mendapat anugerah khas iaitu ⁠Outstanding Malaysian Choir Award.

“Malah sebagai juara kategori kami berjaya ke Grand Prix bersama pemenang kategori yang lain dan pencapaian ini amat bermakna buat saya kerana ia bukan sahaja mengiktiraf usaha dan komitmen murid, malah membuktikan bahawa kerja keras yang dilakukan sepanjang proses latihan akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Image
Les Chanteurs Junior di bawah bimbingan konduktor Rabi’atul Raba’ah Baharudin memperoleh emas sulung di MCE bagi kategori Young Children’s Choir (Open).
Les Chanteurs Junior di bawah bimbingan konduktor Rabi’atul Raba’ah Baharudin memperoleh emas sulung di MCE bagi kategori Young Children’s Choir (Open).

Tambahnya lagi, bagi kategori Children’s Choir pasukan meraih emas untuk tahun ketiga beturut-turut dengan kali ini mempertaruhkan lagu yang lebih bertenaga, Singkap Siaga dan Nara.

“Saya gembira melihat perkembangan mereka daripada sebuah kumpulan yang sedang belajar untuk menjadi satu suara, kepada sebuah kumpulan besar yang mampu berdiri bersama,” katanya.

Sementara itu, Les Chanteurs Junior di bawah bimbingan konduktor Rabi’atul Raba’ah Baharudin meraih emas kategori Young Children’s Choir (Open) dengan membawa lagu ‘Whisper’ dan ‘Malaysia Merdeka’, pencapaian yang lebih baik tahun ini selepas meraih perak pada 2025 dan 2024.

“Tahun ini ialah tahun ketiga kami sertai MCE dan akhirnya pasukan junior meraih emas sulung di MCE, justeru ingin saya tekankan, usia bukan penghalang untuk anak-anak kecil ini mencapai sesuatu yang hebat.

“Ribuan terima kasih kepada semua murid, ibu bapa, dan sudah tentunya kepada guru pembimbing, terutamanya Adlia Syazanna Abas, yang sentiasa memberikan yang terbaik untuk pasukan.

“Lebih membanggakan, pasukan junior mempunyai keunikan tersendiri yang mana mereka terdiri daripada murid berusia tujuh hingga sembilan tahun, sedangkan kebanyakan kumpulan lain dalam kategori ini terdiri daripada murid dalam lingkungan umur tujuh hingga 12 tahun, mengikut syarat penyertaan yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu kejayaan Les Chanteurs Senior adalah hasil kombinasi kerjasama erat konduktor, Azahar bersama pemuzik pengiring Dr Mohd Fairuz Zamani dan Haziq Iskandar Johan.

Bagi Les Chanteurs Junior pula ia hasil kerjasama konduktor Rabiatul bersama pemuzik pengiring, Wong Jia Chun.

Must Watch Video

Advertisement