Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pemilik bawa jawapan AI ke klinik, doktor veterinar ingatkan risiko rawat sendiri

Klinik Veterinar, Haiwan, Eksotik -- Astro AWANI/Seth Akmal
Dr Asma Fariha Asma Halim (kiri), melakukan pemeriksaan terhadap seekor guinea pig di Klinik Exocare Veterinary Medical Centre, Subang Jaya. - Foto Astro AWANI/Seth Akmal.
Advertisement

SUBANG JAYA: Bukan preskripsi daripada doktor lain, sebaliknya jawapan yang dicetak daripada platform kecerdasan buatan (AI) dibawa ke klinik untuk dijadikan panduan merawat haiwan.

Itu antara situasi pernah dihadapi doktor veterinar Klinik Exocare Veterinary Medical Centre, Dr Asma Fariha Asma Halim, ketika merawat haiwan eksotik apabila ada pemilik meminta rawatan diberikan berdasarkan jawapan AI.

Lebih mencabar, katanya, ada pemilik yang mempersoalkan kaedah rawatan doktor apabila ia bercanggah dengan maklumat diperoleh menerusi platform berkenaan.

“Ada satu dua pemilik haiwan saya jumpa, di mana mereka mencetak jawapan daripada platform AI dan mengarahkan kita untuk mengikuti apa yang platform tersebut sarankan.

“Kadang-kadang ada yang betul, tetapi ia bergantung kepada apa yang mereka taip, apa yang mereka cari dan bagaimana mereka memberikan arahan kepada AI,” katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Dr Asma, keadaan menjadi sukar apabila pemilik sudah terlalu yakin dengan jawapan AI sehingga mempertikaikan rawatan yang dicadangkan doktor veterinar.

“Kalau tidak betul, kita nak jelaskan itu susah sebab dia sudah percaya kepada AI. Kadang-kadang mereka pertikaikan rawatan kita, kenapa doktor buat rawatan macam ini sedangkan AI cakap lain,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak penggunaan AI sebagai medium mendapatkan maklumat awal, tetapi menegaskan ia tidak boleh menggantikan pemeriksaan klinikal dan diagnosis profesional.

Katanya, doktor memerlukan bukti objektif termasuk keputusan ujian darah dan X-ray sebelum menentukan keadaan sebenar haiwan serta rawatan yang sesuai.

“Apa yang kita (pihak klinik) perlukan adalah gambaran dan fakta yang jelas. Ambil darah, buat ujian darah dan kita ada bukti, ada bacaan.

“Kalau dia nak semak semula dengan AI pun, kita sudah ada bacaan yang betul dan boleh terangkan kepada pemilik,” katanya.

Image
Klinik Veterinar, Haiwan, Eksotik -- Astro AWANI/Seth Akmal
Apa yang klinik perlukan adalah gambaran dan fakta yang jelas, ujar Dr Asma.

Haiwan eksotik bukan kucing dan anjing

Dr Asma berkata, risiko bergantung kepada maklumat umum lebih tinggi bagi haiwan eksotik kerana metabolisme serta tindak balas tubuh setiap spesies terhadap rawatan adalah berbeza.

“Haiwan eksotik ini mempunyai metabolisme yang berbeza. Jadi apabila metabolisme berbeza, respons tubuh terhadap rawatan pun akan berbeza dan responsnya tidak sama seperti kucing dan anjing.

“Mereka ini sangat sensitif. Kalau kita beri sesuatu ubat, tidak semestinya kita boleh menjanjikan hasil yang sama kerana setiap haiwan berbeza,” jelasnya.

Menurutnya, Klinik Exocare Veterinary Medical Centre menerima anggaran 15 hingga 30 haiwan sehari, dengan tikus Belanda (guinea pig), arnab dan burung kecil antara yang paling kerap dibawa mendapatkan rawatan.

Beliau melihat peningkatan minat memelihara haiwan eksotik turut dipengaruhi media sosial apabila video pendek memaparkan haiwan yang kelihatan comel, jinak dan mudah dijaga.

Namun, gambaran beberapa saat di media sosial tidak semestinya menunjukkan realiti penjagaan haiwan itu, termasuk keperluan habitat, diet, rawatan serta perubahan tingkah laku apabila dewasa.

“Sebenarnya masalah yang kita perhatikan ialah mereka ini sayang, tetapi maklumat yang mereka terima terlalu ringkas,” katanya.

Jangan beli hanya kerana comel

Image
Klinik Veterinar, Haiwan, Eksotik -- Astro AWANI/Seth Akmal
Dr Asma berpandangan kebanyakan pemilik menyayangi haiwan ereka namun kurang literasi dalam bab penjagaan. Gambar Astro AWANI/Seth Akmal.

Dr Asma berkata, kekurangan pengetahuan boleh membawa implikasi serius, termasuk masalah kembung perut dalam kalangan tikus Belanda dan arnab yang boleh berpunca daripada masalah gigi atau jantung dan membawa maut jika tidak dirawat.

Bagi reptilia pula, beliau berkata pemilik perlu memahami bahawa penjagaan bukan sekadar memberi kalsium, sebaliknya pencahayaan sinar ultra ungu B (UVB) dan haba sesuai juga diperlukan bagi membantu penyerapan nutrisi.

Beliau turut mengingatkan bahawa haiwan yang kelihatan kecil dan mudah dijaga ketika dibeli boleh mempunyai keperluan jauh berbeza apabila dewasa, termasuk dari segi saiz ruang, pemakanan dan tingkah laku.

Justeru, bakal pemilik disaran menyemak terlebih dahulu status lesen haiwan, diet, pencahayaan, suhu, kelembapan, saiz sangkar, sumber makanan serta lokasi klinik veterinar eksotik terdekat.

Ini kerana bukan semua klinik veterinar mempunyai pengalaman, kemahiran dan peralatan khusus untuk merawat setiap spesies haiwan eksotik.

Pemilik juga perlu mengambil kira kos permulaan, penyelenggaraan, rawatan perubatan dan perbelanjaan jangka panjang terutama bagi haiwan yang mempunyai jangka hayat panjang.

“Jangan beli sebab trending, comel. Perlu ambil kira waktu usia tua dan dewasa serta kos perubatan, penyelenggaraan dan jangka hayat haiwan tersebut.

“Kena periksa diri sendiri, 'Adakah saya boleh beri komitmen atau tidak?' Kalau nak memelihara haiwan eksotik perlu ada ilmu dan komitmen,” katanya lagi.


 

Must Watch Video

Advertisement