Skip to main content

Malaysia

Persiapan Deepavali semakin meriah, orang ramai mula membeli-belah

Pekerja tekun menyusun kalungan bunga berwarna-warni yang menjadi antara perhiasan tradisi sambutan Deepavali di Little India, Brickfields. - Foto BERNAMA
Pekerja tekun menyusun kalungan bunga berwarna-warni yang menjadi antara perhiasan tradisi sambutan Deepavali di Little India, Brickfields. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Masyarakat India di seluruh negara giat membuat persiapan Deepavali dengan membeli pakaian tradisional, juadah istimewa dan menghias kediaman.
  • Pusat beli-belah dan bazar Deepavali di pelbagai negeri mula dipenuhi pengunjung, dengan peniaga menawarkan promosi serta pelbagai barangan perayaan.
  • Sambutan pelanggan berbeza mengikut negeri, namun dijangka meningkat menjelang Deepavali, dengan tradisi kekeluargaan dan juadah tradisional terus dikekalkan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Suasana menjelang sambutan Deepavali pada 8 Nov ini semakin meriah apabila masyarakat India di seluruh negara mula membuat persiapan bagi menyambut Pesta Cahaya, termasuk mendapatkan pakaian tradisional, menyediakan juadah istimewa serta menghias kediaman bagi meraikan perayaan itu bersama keluarga dan sanak saudara.

Tinjauan Bernama di beberapa negeri mendapati pusat beli-belah mula dikunjungi orang ramai yang mengambil kesempatan mendapatkan pelbagai keperluan perayaan, manakala peniaga menawarkan pilihan barangan dan promosi istimewa bagi menarik pelanggan.

Di KUALA LUMPUR, peniaga di Little India, Brickfields berharap jumlah pengunjung meningkat pada hujung minggu ini meskipun keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini serba sedikit menjejaskan jualan.

Advertisement

Peniaga kasut dan aksesori, Vishan Daren, 30, berkata hujan menyebabkan jumlah pelanggan berkurangan, namun kehadiran pengunjung mula meningkat hari ini dan dijangka bertambah pada Sabtu dan Ahad.

Bagi SELANGOR, tinjauan di Little India, Klang mendapati persiapan Deepavali turut mendapat perhatian masyarakat pelbagai kaum, termasuk Nadia Dastghill, 44, yang membeli pakaian tradisional India untuk sambutan di sekolah anaknya selain menghadiahkan sari kepada guru.

Advertisement

Seorang lagi pengunjung, N. Rama Rao, 38, berkata Little India kekal menjadi destinasi pilihan keluarganya kerana menawarkan pelbagai pilihan pakaian tradisional pada harga berpatutan.

Di NEGERI SEMBILAN, kira-kira 30,000 pengunjung dijangka membanjiri Bazar Deepavali di Jalan Datuk Lee Fong Yee, yang dikenali sebagai Little India Seremban, sepanjang 10 hari penganjurannya yang bermula semalam.

Pegawai Khas Hal Ehwal Masyarakat India Negeri Sembilan Datuk VS Mogan berkata bazar itu disertai 140 peniaga yang menawarkan pelbagai barangan perayaan, selain persembahan artis tempatan termasuk Santesh Kumar bagi memeriahkan suasana.

Di JOHOR, orang ramai mula membuat persiapan lebih awal dengan mengunjungi Bazar Deepavali di Jalan Ungku Puan, Johor Bahru untuk mendapatkan pakaian tradisional, bunga hiasan, aksesori serta pelbagai manisan dan kudapan.

Suri rumah K. Kalaivani, 40, dari Pasir Gudang berkata dia memilih untuk membeli-belah seminggu lebih awal bagi mengelakkan kesesakan pada saat akhir.

Sementara itu, peniaga kudapan tradisional, Renuka, 34, berkata sambutan pelanggan setakat ini memberangsangkan dengan tart, suji dan muruku antara juadah yang mendapat permintaan tinggi.

Di PULAU PINANG, kemeriahan menjelang Deepavali turut dirasai apabila premis perniagaan dihiasi dekorasi berwarna-warni, selain menawarkan jualan istimewa dan potongan harga bagi barangan terpilih.

Pengarah VKN Sivasamy & Son, Aditya Tandian berkata sambutan pelanggan hampir menyamai tahun lepas, dengan sebahagian pengunjung datang dari Sungai Petani, Kulim, Ipoh dan Kuala Lumpur manakala kira-kira 10 hingga 15 peratus pelanggan membuat pembelian secara dalam talian.

Di PERLIS, peniaga barangan keperluan perayaan di Pauh, Arau, V. Malarvizhi, 56, berkata sambutan pelanggan masih perlahan, namun dijangka meningkat kira-kira seminggu sebelum Deepavali apabila orang ramai mula mendapatkan pakaian, barangan keagamaan dan kuih-muih.

Beliau yang telah berniaga lebih 10 tahun berkata kebanyakan pelanggan lazimnya membuat pembelian pada minggu terakhir menjelang perayaan, manakala persiapannya sendiri akan dilakukan tiga hingga empat hari sebelum Deepavali.

Di PAHANG, Dr S. Bavani, 43, dari Kuantan berkata persiapan keluarganya dimulakan dengan pembelian pakaian tradisional seperti sari dan kurta, selain menyediakan juadah tradisional termasuk muruku dan manisan untuk dihidangkan kepada tetamu.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata kerja membersihkan dan menghias rumah dengan pelita serta hiasan berwarna-warni turut menjadi sebahagian daripada persiapan bagi mewujudkan suasana meriah sempena perayaan berkenaan.

Sementara itu, di KELANTAN, masyarakat Hindu di Kuala Krai dan Tanah Merah membuat persiapan secara sederhana dengan mengekalkan tradisi menyediakan juadah, membersihkan kediaman serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan.

Ibu tunggal kepada tujuh cahaya mata, R. Parvathy, 68, dari Kuala Krai berkata anak-anaknya membantu membeli pakaian tradisional dan menyediakan keperluan perayaan, manakala dia turut menyediakan muruku untuk dinikmati bersama keluarga serta jiran tetangga.

Seorang lagi penduduk Tanah Merah, S. Chandrakala, 40, berkata amalan menyediakan juadah tradisional seperti muruku dan ladu bersama ahli keluarga bukan sahaja memeriahkan sambutan, malah memastikan warisan itu terus dipelihara oleh generasi muda.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement