KUALA LUMPUR: Pertanyaan seorang bapa tiga bulan sebelum meninggal dunia menjadi titik perubahan buat jurugambar jalanan Malaysia, Yuji Haikal yang kini meraih satu lagi pengiktirafan antarabangsa menerusi URBAN Photo Awards 2026 di Itali.
Yuji Haikal atau nama sebenarnya Syed Muhammad Haikal Syed Mahbar, 41, muncul sebagai pemenang URBAN Book Award menerusi buku fotografi (photo book) Why Aren’t You Taking Photos Anymore? pada festival Trieste Photo Days di Trieste, Itali.
Lebih istimewa, buku fotografi buatan tangan itu didedikasikan kepada arwah bapanya yang pernah bertanya mengapa beliau tidak lagi mengambil gambar, selepas hampir sedekad meninggalkan dunia fotografi.
Menurut Yuji Haikal, pertanyaan tersebut menjadi dorongan untuk kembali memegang kamera selepas pemergian bapanya, sekali gus menghasilkan karya yang kini mendapat perhatian antarabangsa.
"Buku ini saya dedikasikan kepada arwah ayah saya kerana pertanyaan tersebut adalah pertanyaan beliau tiga bulan sebelum beliau meninggal dunia.
"Perjalanan fotografi saya bermula semula setelah ayah saya meninggalkan saya dan saya mengambil gambar kembali untuk menunaikan hasrat beliau," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Kejayaan itu turut merealisasikan impian Yuji Haikal apabila pihak penganjur bersetuju menerbitkan bukunya di peringkat antarabangsa, selepas karya berkenaan pada asalnya dihasilkan dan diterbitkan sendiri.
Pertandingan URBAN Photo Awards 2026 menerima hampir 20,000 penyertaan termasuk buku fotografi daripada kira-kira 5,000 jurugambar seluruh dunia.
Karya peribadi tembusi pentas dunia
Bagi Yuji Haikal, kejayaan di Itali cukup bermakna kerana kisah peribadi mengenai kehilangan bapanya bukan sahaja mendapat pengiktirafan, malah membolehkan beliau sekali lagi mengharumkan nama Malaysia.
"Tentulah perasaan sangat berbangga dan terharu kerana cerita personal saya dapat ke peringkat antarabangsa dan saya dapat kongsikan pengalaman ini bersama mereka.
"Saya sangat teruja kerana sekali lagi dapat membawa nama Malaysia dan foto jalanan ke peringkat antarabangsa," katanya.
Buku sama sebelum ini meraih gelaran Book Photographer of the Year pada International Photography Awards (IPA) 2024 di Athens, Greece, selain pingat emas di Tokyo International Foto Awards dan Budapest International Foto Awards pada 2025.
Tahun ini, karya tersebut turut meraih tempat kedua di Prix de la Photographie Paris (PX3), manakala Yuji Haikal muncul naib juara kategori Portraiture pada Xposure International Photography Awards (XIPA) di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu menerusi karya berbeza, Lost In Translation.
Jurugambar Malaysia perlu lebih yakin
Mengulas potensi fotografi tempatan, Yuji Haikal percaya kepelbagaian budaya dan etnik Malaysia merupakan kekuatan yang mampu menarik perhatian juri antarabangsa, namun masih ramai jurugambar kurang yakin mengetengahkan karya mereka.
"Cuma jurugambar dari Malaysia kurang berkeyakinan untuk menghantar. Saya harap dengan anugerah yang diterima ini dapat menginspirasi jurugambar lain untuk menghantar karya mereka ke peringkat antarabangsa," katanya.
Kini, selain mengendalikan latihan kecerdasan buatan (AI) menerusi syarikat pemula SH Insights dan terlibat dalam bengkel fotografi, Yuji Haikal menyimpan impian untuk menghasilkan karya yang layak dicalonkan bagi Leica Oskar Barnack Award (LOBA).