KUALA LUMPUR: Ayam Brand memperluaskan rangkaian produk Ayam Cariknya dengan memperkenalkan tiga perisa baharu iaitu Sos Teriyaki, Sos Gochujang Korea Pedas dan Lada Hitam bagi memenuhi cita rasa pengguna yang semakin pelbagai.
Ketua Jualan Ayam Brand, Loke Wing Hoong berkata, pengenalan perisa baharu itu selari dengan keperluan pengguna masa kini yang mengutamakan makanan mudah disediakan, namun tetap menawarkan rasa yang memuaskan.
Menurut beliau, produk Ayam Carik Ayam Brand menampilkan isi ayam yang lembut dan versatil, sesuai dipadankan dengan pelbagai jenis hidangan mengikut kreativiti pengguna.
“Setiap perisa mempunyai keunikan tersendiri. Ayam Carik Sos Teriyaki menawarkan gabungan rasa manis dan savuri yang sesuai dipadankan dengan nasi, mi, roti atau dijadikan inti sandwic.
“Ayam Carik Sos Gochujang Korea Pedas pula diinspirasikan daripada cita rasa Korea yang semakin popular dengan sentuhan pedas yang menyelerakan.
“Sementara itu, Ayam Carik Lada Hitam menggunakan lada hitam dari Sarawak yang terkenal dengan aroma dan rasanya yang lebih terserlah, sekali gus memberikan sentuhan berempah dalam hidangan harian,” katanya pada majlis pelancaran rangkaian baharu Ayam Carik di Jaya Grocer, Sunway Pyramid, pada Khamis.
Wing Hoong berkata, penambahan tiga perisa baharu itu memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk menyediakan pelbagai jenis hidangan, termasuk sandwic, burger, nasi, mi dan salad.
Katanya, produk itu juga sesuai dijadikan pilihan makanan segera, bekalan ke tempat kerja atau sebagai sebahagian daripada hidangan harian keluarga.
Beliau menambah, pengenalan produk baharu itu mencerminkan komitmen berterusan Ayam Brand dalam menawarkan produk yang selari dengan gaya hidup moden dan serba pantas.
“Dengan kini mempunyai lima pilihan perisa, kami berharap Ayam Carik Ayam Brand dapat menjadi pilihan utama rakyat Malaysia yang mencari hidangan mudah, versatil dan penuh rasa,” katanya.
Ayam Carik Ayam Brand kini boleh didapati di Jaya Grocer dan cawangan terpilih di seluruh negara.
Orang ramai juga berpeluang mencuba rangkaian produk berkenaan menerusi sesi promosi khas di Jaya Grocer, Sunway Pyramid sehingga 6 September ini.