KUALA LUMPUR: DJI Malaysia melancarkan kamera panorama generasi baharunya, DJI Osmo 360 II, yang menawarkan keupayaan pengimejan 360 darjah lebih maju menerusi gabungan teknologi fotografi udara, sistem penstabilan profesional dan kecerdasan buatan (AI).
Menurut DJI Malaysia, Osmo 360 II dibangunkan berasaskan lebih dua dekad pengalaman dan inovasi syarikat dalam industri dron serta teknologi pengimejan, sekali gus mempertingkatkan pengalaman rakaman 360 darjah untuk pelbagai jenis pengguna.
Kamera itu dilengkapi sensor imej HDR segi empat generasi terkini yang meningkatkan penggunaan sensor sebanyak 25 peratus, sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga tanpa menjejaskan kualiti rakaman dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Dipadankan dengan teknologi AI SuperNight 2.0, Osmo 360 II mampu menghasilkan rakaman lebih jelas dan tajam dalam persekitaran cahaya malap, selain menawarkan peningkatan ketara dari segi kualiti pengimejan.
DJI Malaysia berkata, kamera tersebut turut dilengkapi kanta ultra keras yang boleh diganti serta storan terbina dalam berkapasiti 105GB bagi memenuhi keperluan rakaman beresolusi tinggi.
"Menambah baik keupayaan kamera 360 darjah pertama DJI, DJI Osmo 360, dan dron 360 darjah pertama syarikat, Avata 360, DJI Osmo 360 II menawarkan keupayaan pengimejan lebih canggih untuk pengalaman rakaman panorama yang dipertingkatkan," menurut syarikat itu dalam majlis pelancarannya di sini pada Khamis.
Selain itu, Osmo 360 II direka untuk menyokong pelbagai aktiviti lasak dan pengembaraan.
Kamera itu boleh dipasang pada motosikal untuk merakam perjalanan dari pelbagai sudut unik, selain menyokong fungsi Kawalan Isyarat dan Kawalan Suara bagi memudahkan pengguna memulakan rakaman tanpa perlu melepaskan tangan daripada hendal.
Bagi aktiviti air, kamera itu boleh digunakan tanpa sarung khas pada kedalaman sehingga 10 meter.
Untuk penyelaman lebih dalam, pengguna boleh menggunakan Sarung Kalis Air Halimunan yang membolehkan rakaman dilakukan sehingga kedalaman 50 meter.
DJI turut menyatakan Osmo 360 II mampu beroperasi dalam suhu serendah minus 20 darjah Celsius, selain menawarkan fungsi rakaman pantas menerusi gerakan memusing tongkat swafoto sebanyak dua kali untuk memulakan rakaman dengan segera.
Bagi peminat berbasikal, teknologi penstabilan terbina dalam membantu menghasilkan rakaman lebih lancar walaupun di laluan tidak rata.
Pengguna juga boleh menambah paparan Sports Dashboard yang membolehkan data perjalanan dipaparkan secara langsung dalam video.
Dalam pada itu, fungsi Tongkat Swafoto Halimunan dan Rakaman Dwi membolehkan pengguna merakam pemandangan sekitar serta diri sendiri dalam satu bingkai, sekali gus menghasilkan kandungan yang lebih interaktif dan imersif.
DJI Malaysia berkata, syarikat itu kekal komited untuk memacu inovasi teknologi serta memperluaskan kepakarannya ke pelbagai sektor termasuk tenaga boleh diperbaharui, pertanian, keselamatan awam, ukur dan pemetaan serta pemeriksaan infrastruktur.
"Produk DJI terus memberikan pengalaman dan nilai yang memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat di seluruh dunia," katanya.
DJI Osmo 360 II kini ditawarkan di Malaysia dalam tiga pilihan kombo dengan harga bermula RM2,189.
Sempena pelancarannya, pelanggan yang membeli dan mengaktifkan produk DJI Osmo 360 II Series yang layak sebelum 30 September ini akan menerima pelan perlindungan DJI Care Refresh selama setahun secara percuma.
Pelan itu akan diaktifkan dalam tempoh tujuh hari bekerja selepas peranti diaktifkan.