Skip to main content
Advertisement

Gaya Hidup

[KOLUMNIS] Sulalatus Salatin ke naskhah teater: Antara inspirasi, tafsiran dan selera generasi kini

[TB]_Mansur & Liu 1
Sulalatus Salatin telah membuktikan bahawa karya klasik tidak semestinya terkurung dalam bentuk asal sebaliknya boleh terus hidup melalui proses tafsiran, adaptasi dan penciptaan semula. - Gambar hiasan
Advertisement

SULALATUS SALATIN atau Sejarah Melayu merupakan antara karya agung kesusasteraan Melayu yang merakamkan tentang sejarah, pemikiran, budaya, adat, dan pandangan dunia masyarakat Melayu pada zaman feudal. 

Naskhah yang sarat dengan kisah raja-raja, pembesar istana, rakyat jelata, peperangan, percintaan, pengembaraan, pengkhianatan, dan kebijaksanaan ini bukan sebuah teks sejarah semata-mata, tetapi juga sebuah karya yang kaya dengan unsur dramatik. Keistimewaan tersebut menjadikan Sulalatus Salatin sebagai sumber yang subur untuk ditafsirkan semula melalui pelbagai bentuk seni termasuk teater.

Apabila Sulalatus Salatin dibawa ke pentas teater, berlaku suatu peralihan teks yang asalnya bergantung pada bahasa dan naratif penceritaan berubah menjadi pengalaman yang bersifat visual, auditori dan bahasa tubuh. Penceritaan dalam halaman tersebut perlu diterjemahkan melalui lakonan, dialog, gerak tubuh, muzik, cahaya, kostum, latar, dan ruang pentas. Dalam proses tersebut, Sulalatus Salatin menjadi cerita yang dilihat, didengar dan dijiwai oleh penonton secara langsung.

Salah satu cabaran terbesar dalam mengadaptasi Sulalatus Salatin ialah sifat karya tersebut yang luas dan episodik. Naskhahnya mengandungi pelbagai kisah yang merentasi beberapa zaman dan kuasa pemerintahan. Tidak semua peristiwa dapat dipindahkan ke pentas teater dalam bentuk asalnya. Oleh itu, peralihan tersebut perlu melalui episod yang mempunyai kekuatan dramatik dan mampu membentuk suatu struktur penceritaan yang utuh. 

Dalam konteks teater, peristiwa sejarah perlu ditransformasikan menjadi konflik. Kisah tentang kuasa, kesetiaan, pengkhianatan, maruah, cinta, peperangan, dan hubungan antara pemerintah dengan rakyat dapat menjadi asas kepada pembinaan yang dramatik. Konflik tersebut kemudiannya diterjemahkan melalui watak yang mempunyai kehendak, pertentangan, dan pilihan.

Di sinilah letaknya perbezaan antara membaca sejarah dengan menyaksikan sejarah di atas pentas. Melalui teks, pembaca menerima naratif melalui suara pencerita. Melalui teater pula konflik berlaku secara langsung di hadapan penonton. 

Seorang raja atau pemerintah tidak hanya disebut sebagai raja malahan kewibawaannya perlu hadir melalui bahasa tubuh, suara, kostum, gerak, dan hubungan dengan watak lain. Seorang pengkhianat pula tidak sekadar diceritakan sebagai pengkhianat tetapi sifat tersebut perlu dizahirkan melalui tindakan yang dramatik.

Bahasa pula merupakan salah satu aspek yang paling mencabar dalam kerja-kerja peralihan ini. Sesetengah naskhah teater dijadikan inspirasi daripada teks asal Sulalatus Salatin dan bukan adaptasi secara langsung. Keindahan teks klasik terletak pada gaya bahasa, ungkapan, perulangan, metafora, peribahasa, dan struktur naratif yang mencerminkan pemikiran masyarakat Melayu tradisional. 

Namun begitu, bahasa teks asal tidak semestinya dapat dipindahkan bulat-bulat ke pentas. Bahasa yang terlalu panjang dan bersifat naratif mungkin sesuai dibaca tetapi kurang berkesan apabila diucapkan oleh pelakon. Oleh itu, proses ubah suai memerlukan pemilihan, pemadatan dan penyusunan semula dialog. 

Dalam hal ini, pengadaptasi berhadapan dengan dua keperluan yang perlu diseimbangkan. Pertama, mengekalkan identiti dan roh bahasa Melayu. Kedua, memastikan bahasa tersebut dapat difahami dan dihayati oleh penonton kontemporari. 

Bahasa teater yang lahir daripada peralihan tersebut akhirnya menjadi suatu bentuk pertemuan antara zaman dahulu dengan masa kini. Bahasa lama tidak semestinya dipamerkan sebagai sesuatu yang beku, sebaliknya boleh diberikan nafas baharu melalui intonasi, ritma, gerak dan konteks persembahan. 

Image
[INSERT]_Mansur & Liu 3
Aksi penuh penghayatan dalam Teater Muzikal Mansur & Liu karya Datuk M. Nasir di Istana Budaya baru-baru ini. - Gambar fail

Mutakhir ini lebih ramai penggiat seni teater berjaya membuka ruang pementasan teater dengan mengambil inspirasi daripada kisah dalam Sulalatus Salatin seperti teater Tralokal Karya Agung Sulalatus Salatin (15-16 November 2024), Teater Muzikal Sulalatus Salatin 2.0 (31 Oktober- 2 November 2025), dan Teater Muzikal Mansur dan Liu (10-20 September 2026). 

Tidak terhenti di situ, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) menyambung kehebatan naskhah tersebut dengan pementasan Bisik yang dipentaskan pada 26 September 2026 di Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka. 

Skrip nukilan Emelia Ishak itu telah diberi nafas yang lebih segar apabila kisah Tun Jana Khatib dijadikan inspirasi. Tun Jana Khatib dikisahkan memiliki kehebatan dalam ilmu khayallillah. Beliau datang dari Pasai ke Singapura bersama sahabatnya. 

Ketika beliau melalui kawasan berhampiran istana, terdapat seorang wanita yang berselindung di sebalik pohon pinang gading. Tun Jana Khatib dikatakan telah menilik pohon tersebut sehingga terbelah dua. Kejadian tersebut disaksikan oleh Paduka Seri Maharaja sehingga baginda murka kerana menyangka Tun Jana Khatib sengaja menunjuk-nunjuk kelebihannya itu di hadapan permaisuri. 

Akhirnya beliau dihukum bunuh tanpa keadilan yang sewajarnya. Akibatnya negeri ditimpa malapetaka apabila beribu-ribu todak menyerang Singapura. Pembalikan kisah ini ditafsirkan dengan inspirasi baharu apabila Bisik memaparkan punca utama pergolakan sesebuah negara bermula dengan bisikan iblis, hasutan nafsu, dan kezaliman fitnah. 

Usaha DBPWS membawa karya agung ini menjadi naskhah teater disokong sepenuhnya oleh JKKN Melaka dan Persatuan Kesidang Sari (PERSIDANG) sebagai rakan sinergi yang sentiasa melestarikan seni, budaya dan sastera di selatan tanah air ke persada yang sewajarnya. 

Kehadiran penonton yang sebahagiannya daripada golongan remaja dan belia telah membuktikan bahawa naskhah ini telah mencuri perhatian Generasi Z untuk menghayatinya. Hal ini perlu diberi perhatian dan dipandang serius kerana Generasi Z barangkali tidak cakna dengan keunggulan kisah Sulalatus Salatin malah mungkin tidak memahami simbolik di sebalik naratif Tun Jana Khatib. 

Generasi ini lebih dekat dengan teknologi audio dan video dan membaca skrin lebih seronok daripada membaca buku. Sesuatu perlu dilakukan untuk mendekatkan mereka dengan bahan yang bersifat klasik, epik dan konvesional melalui medium yang lebih santai dan menghiburkan. 

Banyak lagi episod yang tercatat dalam Sulalatus Salatin yang boleh diadaptasi menjadi naskhah teater seperti kisah Kitul dan Raja Mendaliar, Sultan Mahmud Syah dan Tun Fatimah, dan Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana. 

Sulalatus Salatin telah membuktikan bahawa karya klasik tidak semestinya terkurung dalam bentuk asal sebaliknya boleh terus hidup melalui proses tafsiran, adaptasi dan penciptaan semula. Perjalanan kreatif ini menjadikan karya lama dapat ditemui kembali oleh khalayak baharu. 

Sebaik sahaja lampu pentas dinyalakan dan lontaran suara pertama bergema di ruang pementasan, Sulalatus Salatin bukan lagi aksara yang tersusun kemas dalam sebuah kitab tetapi menjadi hikayat yang hadir sebagai peringatan daripada warisan lama yang mencari makna baharu di hadapan penonton.


* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, atau berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement