PUTRAJAYA: Malaysia akan menyertai Brunei, Indonesia dan Singapura dalam usaha bersama pelbagai negara mencalonkan zapin bagi disenaraikan dalam Senarai Perwakilan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pencalonan bersama itu mencerminkan perkongsian warisan budaya serta hubungan erat yang telah terjalin sekian lama antara masyarakat di seluruh Asia Tenggara.
Menurut kenyataan itu, dokumen pencalonan rasmi dijadualkan dikemukakan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebelum atau pada 31 Mac 2027 untuk dipertimbangkan dalam kitaran penyertaan bagi 2028/2029.
Menurut MOTAC, zapin kekal sebagai warisan hidup dinamik yang mencerminkan identiti, kesinambungan serta pemilikan bersama kebudayaan dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam di seluruh rantau ini.
“Melalui penyertaan dalam pencalonan bersama UNESCO ini, Malaysia mahu memperkenalkan zapin dengan lebih meluas di peringkat antarabangsa, selain melindungi warisan ini daripada disalah guna dengan berpegang teguh kepada nilai teras MADANI yang meliputi keterangkuman, kepelbagaian budaya dan kemakmuran bersama,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOTAC, inisiatif bersama itu juga menunjukkan kerjasama erat antara negara dalam berkongsi pandangan dan melaksanakan usaha berkaitan zapin merentasi sempadan.
Ia turut mencerminkan konsep “ummah zapin”, iaitu komuniti budaya dari pelbagai negara yang berkongsi warisan zapin tanpa mengira sempadan geografi dan politik.
“Melalui usaha bersama ini, rantau Asia Tenggara meraikan sejarah yang saling berkait rapat serta kelangsungan pelbagai ekspresi budaya termasuk zapin, jipin, jepin, japin, dana, dincak dan dambus,” menurut kenyataan itu.
Selain itu menurut kementerian, negara yang mengambil bahagian dalam usaha bersama itu dapat memperkukuh hubungan dengan berkongsi pengetahuan dan kepakaran budaya, khususnya dalam kalangan penggiat, penyelidik serta komuniti.
“Perancangan pada masa hadapan merangkumi kerjasama di peringkat akar umbi seperti persembahan bersama, bengkel, pertukaran belia dan festival serantau.
“Secara keseluruhan, inisiatif ini bertujuan melindungi tradisi zapin sebagai warisan hidup, memastikan kelangsungannya untuk generasi akan datang, selain mempererat persahabatan serantau dan perpaduan budaya,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOTAC, komuniti, kumpulan dan penggiat yang memelihara, mengamalkan serta mewariskan zapin merupakan pihak yang penting dalam proses pencalonan berkenaan, dengan rundingan bersama pihak berkepentingan sedang dijalankan bagi mendapatkan persetujuan dan sokongan berterusan daripada mereka.
“Rundingan secara menyeluruh dengan pihak berkepentingan sedang dijalankan bagi mendapatkan persetujuan dan sokongan berterusan daripada penggiat budaya tempatan. Usaha bersama ini menghormati hasrat mereka untuk berkongsi warisan hidup ini di pentas global melalui UNESCO,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOTAC, pencalonan tersebut bukan bertujuan untuk menuntut pemilikan, hak harta intelek atau eksklusiviti budaya, sebaliknya, untuk melindungi warisan hidup yang dikongsi dan telah berkembang merentasi beberapa generasi.
“Matlamat kami adalah untuk memastikan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang terkandung dalam zapin terus diwariskan daripada penggiat mahir kepada golongan muda,” menurut kenyataan itu.
Di Malaysia, menurut MOTAC, usaha untuk melindungi dan memelihara zapin turut diterapkan dalam pendidikan formal dan kurikulum universiti, program latihan belia serta bengkel komuniti, selain disokong oleh penyelidikan akademik, festival kebudayaan dan dokumentasi digital.
-- BERNAMA