Skip to main content

Gaya Hidup

Maraton Maybank sasar edisi 2027 lebih besar selepas kejayaan di Bali

Sumber: FB Maybank Marathon
Maraton Maybank tahun ini dengan kerjasama Visa berlangsung di Pusat Latihan Bali United di Gianyar. Bertemakan "Pace You Forward", acara itu mempertandingkan kategori maraton, separuh maraton, 10K dan kerusi roda. - Gambar Facebook Maybank Marathon
Advertisement

BALI: Edisi ke-15 Maraton Maybank -- perlumbaan jalan raya pertama di Indonesia yang menerima pengiktirafan World Athletics Elite Label -- melabuhkan tirai dengan jayanya di Bali pada Ahad dengan penyertaan 14,100 pelari dari 46 negara.

Presiden Pengarah Maybank Indonesia, Steffano Ridwan mengesahkan maraton itu akan kembali ke Bali tahun depan, sambil berkata, cabarannya adalah untuk menjadikan acara berkenaan lebih besar dan menarik, di samping mengekalkan kualiti yang menjadi keunggulannya berbanding acara lain selama ini.

“Satu daripada perkara yang mungkin membezakan Maraton Maybank dengan maraton lain ialah ketekalan kualitinya. Itulah yang sentiasa menjadi komitmen kami dan terus kami kekalkan,” katanya pada sidang media selepas perlumbaan itu.

Maraton Maybank tahun ini dengan kerjasama Visa berlangsung di Pusat Latihan Bali United di Gianyar. Bertemakan "Pace You Forward", acara itu mempertandingkan kategori maraton, separuh maraton, 10K dan kerusi roda.

Jumlah hadiah keseluruhan melebihi Rp3 bilion (Rp1 juta=RM228), termasuk Rp260 juta bagi setiap pemenang kategori Marathon Open dan Rp100 juta bagi setiap pemenang kategori Marathon National.

Pelari Kenya, Michael Kimani Kamau memenangi kategori Marathon Open lelaki dengan catatan masa 2:16:10, manakala rakan senegaranya Veronicah Njeri Maina menjuarai kategori wanita dengan catatan 2:37:22.

Dalam kategori Marathon National, pelari Indonesia Robi Syianturi dan Ina Lydia masing-masing memenangi kategori lelaki dan wanita dengan catatan masa 2:28:30 dan 3:09:55.

Steffano berkata, acara tahunan itu bukan sekadar perlumbaan, sebaliknya, turut menggabungkan elemen pelancongan dan kelestarian bagi memberikan impak positif yang lebih luas kepada masyarakat serta kerajaan tempatan.

“Perkara paling penting bukan sekadar maraton, tetapi apa yang ditinggalkan oleh maraton itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perlumbaan Maraton Maybank, Bambang Dwi Hartono memberi bayangan mengenai kemungkinan format acara itu diperluas pada 2027 dengan berkata, penganjur sedang menilai sama ada acara berkenaan boleh diadakan lebih daripada sehari. 

Bambang berkata, melanjutkan tempoh acara itu boleh memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk menikmatinya.

Beliau berkata, penganjur juga merancang untuk menambah baik proses pengambilan kit perlumbaan, perkampungan perlumbaan, laluan larian dan pengisian hiburan untuk edisi tahun depan.

Bambang berkata, penambahbaikan berterusan menjadi teras pembangunan acara itu sejak edisi sulungnya pada 2012, sekali gus membantu Maraton Maybank menerima pengiktirafan World Athletics Elite Label pada 2020 dan menjadi antara acara maraton terkemuka di Indonesia.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement