Skip to main content
Advertisement

Gaya Hidup

Ren Faire di Johor Bahru? Apa sekumpulan anak muda ini lakukan demi menjayakannya

renfaire_Astro AWANI
Taman awam yang dikelilingi suasana hijau di TMIYC Johor Bahru sedia menyambut kunjungan dan minat orang ramai, khususnya anak muda, dalam acara Ren Faire pada 26 dan 27 September ini. - Astro AWANI
Advertisement

JOHOR BAHRU: Sesuatu yang bermula sebagai satu keinginan untuk memeriahkan suasana hujung minggu di sebuah taman awam, diterjemah menjadi sebuah gerak kerja berpasukan yang melibatkan komitmen anak muda dalam gabungan tenaga serta ekspresi kreatif.

Keinginan itu lebih-lebih lagi dipacu kelanjutan suasana sambutan perayaan nasional dan kalendar kempen pelancongan negeri yang terus mencetus pertanyaan – hendak ke mana lagi pada hujung minggu ini?

Ilham dan semangat berkobar-kobar itu mahu dihidupkan dengan gandingan kerjasama Das Coffee dan Midokori Matcha, yang bakal menganjurkan Ren Faire pertama di Johor Bahru, bertempat di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Johor Bahru, pada 26 dan 27 September.

Image
renfaire_mejaplastikmy
Poster berserta tarikan yang menanti di Ren Faire Gathering yang bakal bertempat di TMIYC Johor Bahru.

“Kami mengangkat tema ‘Once Upon A Time’ yang diisi dengan pelbagai tawaran vendor, permainan dan aktiviti. Pengunjung nanti akan dapat merasai pengalaman itu ketika bersiar-siar di dalam taman awam yang terbuka. 

“Lebih meriah, mereka sendiri akan menjadi sebahagian daripada tarikan suasana apabila masing-masing bakal menggayakan pakaian dan kostum yang mengambil inspirasi gabungan zaman Renaissance dan pra-Malaya,” ujar penganjur bersama, Namazie Imran Namazie Noah, 29, yang turut berterima kasih kerana diberikan lampu hijau oleh pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi acara tersebut.

Jelasnya, pengunjung yang hadir boleh menyertai bengkel yang dikelola kelab Oddball, menghasilkan jurnal bersama Papercults, dan permainan table adventure oleh Adventurer' Guild.

Image
[INSERT]_Ren Faire 2_ASTRO AWANI
Image
[TB]_Ren Faire_ASTRO AWANI

Selain itu disiapkan juga tutorial tempur dalam aksi live action roleplay (LARP) oleh Ranger's Guild, cabaran bermain catur oleh Chess MTS, serta keseronokan permainan kad Magic: The Gathering. Tidak ketinggalan juga, penyanyi dan pemuzik, Liyana Fizi, akan membuat kemunculan dalam satu persembahan istimewa pada 26 September, jam 9 malam.

Semua pengisian yang diatur secara khusus itu akan melengkapi tarikan sedia ada di TMIYC seperti lot jualan makanan dan minuman, fasiliti riadah dan rekreasi, tentunya dalam ketenangan alam hijau yang menyejukkan mata di segenap penjuru.

Image
[INSERT]_Card game_ASTRO AWANI
Pelbagai aktiviti disediakan untuk disertai pengunjung, antaranya permainan kad, bengkel dan permainan catur. 

Bagi anak muda masa kini, acara seumpama ini suatu yang dekat dan lazim. Namun, bagi sesetengah golongan yang mungkin belum terbiasa, pengalaman ini sudah cukup membuatkan mereka ingin mencuba.

"Ren Faire ini sebenarnya bukan untuk kelompok usia tertentu. Ia bukan soal generasi, ini tentang sejarah. Setiap persiapan dan dekorasi yang dipaparkan juga seboleh-bolehnya menggunakan kaedah tradisional yang wujud pada zamannya. Ia tidak semestinya perlu kelihatan sempurna, namun ada maksud tersendiri,” ujar Wan Nur Afiqah Mohd Rashid, 35, yang bertindak sebagai pengurus acara.

Tambahnya, keterlibatannya bersama rakan-rakan dalam acara berkenaan berdepan cabaran pada awalnya. Selain bajet yang terhad, setiap daripada mereka mempunyai komitmen pekerjaan tetap.

"Namun kami akhirnya dapat mengumpulkan sukarelawan. Mereka hadir bukan sekadar untuk menyumbang tenaga, malah proses persiapan awal telah mereka manfaatkan sebagai 'terapi' untuk mereka melepaskan stres," ujar Wan Nur Afiqah.

Dari pemerhatian menuju hari berlangsungnya acara berkenaan, jelas kelihatan kesungguhan jaringan anak muda tempatan yang masing-masing menyumbangkan kemahiran dalam hal pengurusan acara, penataan kreatif, pertukangan dan dekorasi.

Image
[INSERT]_Ren Faire_ASTRO AWANI
Wan Nur Afiqah (tengah) bersama rakan-rakan menyiapkan kelangkapan menjelang acara Ren Faire di TMIYC Johjor Bahru.

Khabar tentang penganjuran Ren Faire di selatan tanah air ini telahpun dihebahkan sejak beberapa minggu lalu menerusi media sosial, dan berjaya meraih perhatian dan pertanyaan lanjut dari banyak pihak yang berminat, termasuk dari Kuala Lumpur, Terengganu dan Sabah.

"Memang kami lakukan ini dalam skala yang sederhana, sesuai dengan kapasiti tenaga sukarela kami yang melaksanakannya atas dasar minat. Jika berpeluang lagi menganjurkannya lagi pada masa akan datang, kami mengalu-alukan sebarang bentuk sokongan mahupun tajaan yang dari pelbagai pihak. Ini sekadar langkah pertama kami.

“.. dan semoga pada hujung minggu ini, landskap hijau di TMIYC Johor Bahru bakal berseri dengan fantasi Zaman Pertengahan dan era pra-Malaya dengan aneka aktiviti, jaringan perkenalan sihat anak-anak muda, dan kunjungan santai yang diingati,” kata Namazie Imran.
 

Must Watch Video

Advertisement