MELAKA: Sebanyak 64 acara pelancongan dirancang sepanjang tahun ini bagi mempromosi dan merancakkan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024), pada tahun hadapan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata daripada jumlah itu, sebanyak 13 acara pelancongan menjadi program utama dan memberi impak tinggi kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri, serta rakyat Melaka.

Beliau berkata antara aktiviti pelancongan berkenaan ialah Melaka International Muaythai (29 hingga 30 Julai), Karnival Beca Melaka 2023 (1 dan 2 Sept), Pertandingan Memancing dan Memasak Ikan Air Tawar 2023 (3 Sept), dan Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 (29 Sept hingga 3 Okt).

"Acara pelancongan ini juga kita akan nilai dan teliti untuk dianjurkan juga pada tahun hadapan sebagai pengisian atau program sempena TMM 2024, dalam usaha mencapai sasaran 18.7 juta pelancong pada tahun hadapan.

"Program pelancongan yang dirangka pada tahun hadapan, akan meliputi semua subsektor pelancongan yang ada di Melaka, termasuk sukan seperti program maraton antarabangsa dan pertandingan perahu naga, yang pastinya dapat menarik ramai peserta dari dalam dan luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perarakan Perahu Naga Melaka 2023 di sini semalam.

Sementara itu, Abdul Razak berkata Majlis Pelancaran TMM 2024 akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada 14 Julai depan.

Beliau berkata majlis pelancaran itu, akan turut melibatkan penggiat industri pelancongan di Melaka yang turut mempromosikan produk dan perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan.

Terdahulu, Abdul Razak berkata Perlumbaan Perahu Naga Melaka 2023 yang melibatkan 40 kumpulan dengan jumlah hampir 500 peserta daripada dalam dan luar negara, akan berlangsung di Pusat Informasi Sungai di Pengkalan Rama di sini, pada 2 Julai depan.

Beliau berkata penganjuran acara sukan kali ke-41 itu, bukan sahaja mempromosikan sukan air berkenaan sempena Pesta Duanwu, yang merupakan satu perayaan tradisional utama kaum Cina, namun berupaya mempromosikan sektor pelancongan Melaka.

-- BERNAMA