Buku Fixi bukan lagi satu jenama yang boleh dipandang enteng. Selepas empat tahun ditubuhkan dan puluhan senarai bestseller, kini karya-karyanya mampu berdiri sebaris dengan penerbitan utama lain di Malaysia.

Khas buat mereka yang tidak biasa dengan penerbit novel urban kontemporari ini, ketahui 9 fakta menarik mengenai penerbit Buku Fixi.

1. Mungkin ada yang tertanya-tanya dari manakah datangnya nama syarikat ini. Namanya diambil dari perkataan Bahasa Indonesia ‘fiksi’ yang turut membawa makna ‘fiction’ dalam Bahasa Inggeris.

2. Nama Fixi dipilih sebagai simbolik yang menandakan tidak ada apa-apa yang asli dalam dunia pernovelan.

3. Kebiasannya para pengemar akan melayari kedai online di laman sesawang rasmi Buku Fixi untuk membeli naskah-naskah keluarannya.

4. Beberapa kedai buku popular seperti Kinokuniya, MPH dan Borders turut meletakkan seleksi buku-buku keluaran Buku Fixi di rak-rak premis. Kedai-kedai seperti tempatan seperti I Am Lejen Shop dan rangkaian I Love Novel juga dikatakan mempunyai koleksi lengkap Buku Fixi.

5. Beberapa novel Buku Fixi telah digarap menjadi adaptasi di layar perak oleh Grand Brilliance. Antaranya adalah ‘Pecah’ dan ‘KL Zombi’ yang ditayangkan pada tahun 2013.

6. Buku Fixi juga menerbitkan buku-buku Malaysia dalam Bahasa Inggeris di bawah label Fixi Novo selain buku-buku ‘lama’ di bawah label Fixi Retro. Terjemahan karya bestseller dunia yang terbaru pula diletakkan di bawah label Fixi Verso.

7. Buku Fixi pernah dinobatkan anugerah The Bookseller International Adult Trade Publisher di Pesta Buku Antarabangsa London pada April tahun 2014.

8. Kedai buku pertama Buku Fixi telah dibuka di Jaya Shopping Centre pada 9 April lalu. Terletak di aras empat, premis bergaya hipster itu menawarkan kesemua judul buku terbitan Fixi dan beberapa alternatif penerbit lain untuk dimiliki para pembaca generasi baharu.

9. Menurut pengasas Buku Fixi iaitu Amir Muhammad, antara terbitan-terbitan yang laris terjual termasuklah ‘Kelabu’, ‘Asrama’, ‘Kacau’, ‘KL Noir Red’ dan ‘Horror Stories’.