KUALA LUMPUR: Dengan ketibaan musim cuti sekolah, ramai rakyat Malaysia ingin membawa keluarga mereka ke tempat tempat menarik di seluruh negara, dan sesi menjamu selera tentunya menjadi pengisian yang penting.

Walau hakikatnya setiap individu memiliki selera berbeza, syor atau panduan tentang tempat yang menyajikan hidangan berkualiti boleh menjadi rujukan. Antara yang dikenali di peringkat antarabangsa ialah panduan Michelin iaitu penerbitan yang memberi penghargaan kepada restoran mahupun penyedia makanan yang dilihat mencapai standard penilaian terbaik.

Terbaru, menerusi edisi pertama Panduan Michelin bagi Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bagi tahun 2023, sejumlah 97 restoran di Malaysia telah tersenarai, termasuk empat daripadanya menerima satu Bintang Michelin untuk masakan mereka yang berkualiti tinggi.

Sementara itu, 32 buah restoran turut menerima anugerah Bib Gourmand kerana menawarkan makanan yang berkualiti pada harga yang berpatutan.

Di Kuala Lumpur, dua restoran menerima bintang Michelin iaitu Dewakan dan DC by Darren Chin. Dewakan menyajikan hidangan moden Malaysia namun tetap memberi penghormatan pada asal usulnya dengan memanfaatkan hasil keluaran tempatan; manakala DC by Darren Chin menghidangkan masakan Perancis klasik dengan penekanan pada hasil laut hidup lokal serta bahan tempatan.

Di Pulau Pinang, Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery, yang menyajikan masakan Peranakan berdasarkan resipi rahsia Chef Auntie Gaik serta menggunakan bahan berkualiti; serta Au Jardin, yang menawarkan hidangan Eropah kompleks dengan sentuhan tempatan, turut menerima penarafan satu bintang.

“Pilihan pertama kami di Malaysia menyerlahkan kepelbagaian jenis masakan yang ditawarkan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, mencerminkan keunikan budaya negara yang berbilang kaum dalam dunia gastronomi,” kata Pengarah Antarabangsa Panduan Michelin, Gwendal Poullennec.

Menurutnya, itu hanyalah permulaan bagi perjalanan gastronomi Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dan pasukan penilai mereka amat berpuas hati dengan ciptaan baharu dalam masakan Malaysia, pewarisan masakan tradisional dan evolusi pelbagai jenis masakan kebangsaan.

"Daya hidup bandar seperti Pulau Pinang, yang mempunyai bilangan restoran Bib Gourmand setaraf dengan Kuala Lumpur, amat memuaskan pasukan pemeriksa kami, yang tidak sabar untuk menerokai Malaysia dengan lebih mendalam serta merasai pelbagai lagi tawaran daripada bakat kulinari tempatan," tambahnya.