PADA zaman ini, ada kalanya kepercayaan seratus peratus tidak boleh lagi diletakkan ke atas sesiapa pun, waima sahabat baik sendiri.

Itu pengajaran yang diperoleh seorang wanita apabila dikhianati sahabatnya yang mengakibatkan dia kerugian kira-kira RM20,000!

Nadia McWillson, menerusi akaun Twitter, pada Khamis, mendedahkan kisah bagaimana sahabat yang juga teman serumahnya itu menggunakan dokumen peribadi miliknya untuk membeli sebuah kereta.

Kata Nadia, dia mengenali rakannya itu sejak mereka mula tinggal serumah enam tahun lalu.

Tempoh yang lama itu bukan sahaja menjadikan hubungan mereka akrab, tetapi juga membuatkan tidak pernah timbul isu kepercayaan di antara mereka.


"Dia beli kereta itu menggunakan kad pengenalan dan lesen memandu saya, dan kereta itu bukannya dia yang pakai, tetapi tunangnya. Saya tahu kerana berdasarkan nombor plat yang diberi, memang itulah kereta yang digunakan tunangnya.

"Sekarang baru saya tahu, betapa senangnya nak beli kereta terpakai. Macam mana boleh lepas, sedangkan bukan penama yang menandatangani perjanjian?" tanya Nadia.

Bukan setakat itu, duit tabungan Nadia yang berjumlah RM4,000 juga digunakan rakannya itu sebagai bayaran pendahuluan kereta itu.

Dalam kemas kini terbaharu malam tadi, Nadia memaklumkan telah membuat laporan polis, namun bersedia untuk menarik balik laporan itu atas beberapa syarat, antaranya rakannya itu perlu membayar ganti rugi yang berjumlah RM25,000.

Netizen rata-ratanya terkejut dengan pendedahan Nadia itu, dan menyifatkan ia satu pengajaran berguna untuk masyarakat.

"Jangan letak kepercayaan kepada sesiapa pun, walau sebaik mana pun dia," kata pengguna Twitter, Siti Hajar Hamzah.

"Minta penalti paling berat. Hidup jangan percaya sangat dekat orang, waima keluarga sendiri pun boleh tikam belakang," kata seorang lagi pengguna dengan nama Panda.