TIADA apa yang mustahil di dalam dunia ini selagi ada usaha, kerja keras dan doa yang berterusan untuk mencapai kejayaan di dalam apa sekali bidang.

Ini dibuktikan sendiri oleh Ainil Asyikin Norazman atas kecemerlangan mengukir nama di peringkat antarabangsa apabila dicalonkan untuk berada dalam Sigma Xi, salah sebuah pertubuhan profesional antarabangsa yang terlibat dalam pelbagai disiplin kajian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Apa yang pasti bukan calang-calang orang boleh tercalon untuk berada dalam pertubuhan tersebut, dan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Pengkalan Chepa ini telah membuktikannya.

Pastinya seluruh ahli keluarganya berasa bangga atas pencapaian tersebut malah rakyat Malaysia juga tumpang merasainya.


Mencipta Kecemerlangan

Menerusi info yang dikongsikan, Ainil Asyikin merupakan pelajar cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat keputusan 9A+.

Meneruskan mencipta kecemerlangan dalam pembelajaran, Ainil Asyikin mengikuti pengajian hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal bermula Ogos 2017 di Princeton University, New Jersey yang merupakan salah sebuah universiti Ivy League.


Kecemerlangan Ainil Asyikin tidak bermula di sini sahaja, malah anak muda ini merupakan bekas pelajar MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan (Sesi 2014) dan penerima Anugerah Biasiswa Perdana yang melayakkan Ainil Asyikin membuat persediaan ke luar negara di bawah United World College bertempat di IB World School, Las Vegas, New Mexico.


Menang AS$2,000.00

Seiring dengan penganugerahan yang diterima atas kecemerlangan tempat pertama dan melayakkan beliau menerima “The Donald Janssen Dike Award for Excellence in Undergraduate Research” serta wang tunai berjumlah AS$2,000.00 atas kajian beliau bertajuk “Automated Defect Detection: An end-to-end pipeline from data to deployment”.

Dalam satu siaran yang dimuat naik di laman Facebook MARA USA, terdapat lebih 200 penerima anugerah Nobel dunia merupakan ahli kepada Sigma Xi seperti Albert Einstein (Theory of Relativity), Enrico Fermi (Creator 1st Nuclear Reactor), Linus Pualing (American Biochemist), Francis Crick (DNA molecular biologist), James Watson (Geneticist) dan John Goodenough (Scientist).



Harapan & Doa Ayah

Manakala meninjau di Facebook milik Norazman Mahamood iaitu ayah kepada Ainil Asyikin, terdapat satu hantaran terlihat cukup menarik perhatian mengenai status yang dimuat naik olehnya.

"Hari yang dinanti telah tiba.

"Memorable moment  for Ainil Asyikin Norazman at Princeton University, NJ. graduation ceremony 22nd May 2022.

"Alhamdulillah. All praises to the Almighty. Congratulations to my  daughter, for graduating today.


"Dalam melintasi garisan ke dunia kehidupan yg baru, sentiasa menitip doa memohon kepadaNya agar memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat."



*Sumber: MARA USA & Facebook Norazman Mahamood


*Artikel asal di Keluarga


Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !