Anak obes atau gemuk masa kecil boleh buat kita geram dan nak cubit-cubit saja.

Rasanya tidaklah menimbulkan sebarang masalah buat mak ayah. Mungkin apabila sudah besar, akan susutlah berat badan.

Itu pada fikiran kita sebagai mak dan ayah. Anak nak makan apa tak kisah, nanti bila sudah besar dan lasak, akan normal balik berat badannya.

Tapi, jangan terkejut kalau anak obes dan susah untuk turunkan berat badan. Nak kawal pun mungkin agak terlambat.

Bukan sahaja paling risau ia boleh buat pergerakan anak perlahan dan paling dirisaukan membantutkan fungsi otak anak.

Jadi, apa yang disarankan oleh Dr Mazliana Mazlan ini boleh membantu mak dan ayah untuk kurangkan berat badan anak dan elak anak obesiti.

Apabila berat badan bertambah lebih daripada paras normal, tisu otak anak akan makin mengecut.


Warna merah yang banyak, terang dan jelas dalam gambar sebelah kiri itu untuk aktiviti otak yang normal.

Sebaliknya pulak warna merah dalam gambar otak di sebelah kanan untuk anak yang obes.

Dopamin merupakan hormon yang mainkan peranan untuk kawal fungsi dan aktiviti otak. Dopamin yang cukup, sangat penting untuk kesihatan fizikal dan mental seorang anak.

Hormon ini akan rendah apabila berat badan anak kita berlebihan. Otak tidak dapat jalankan fungsi dengan baik, dan aktiviti otak akan menurun.

Anak nak kawal pergerakan pun dengan bantuan dopamin. Boleh bayangkan kalau dopamin rendah, 'signal' lambat sampai, aktiviti anak akan jadi makin perlahan.

Hormon dopamin kalau rendah, boleh juga tingkatkan risiko kemurungan pada anak. Buat anak susah nak tidur pun ya juga.

Sebab tu penting sangat kita jaga berat badan anak. Biar 'ideal'. Tidak mahu terlebih atau obes. Nanti akan bantutkan fungsi otak anak kita yang baharu mahu berkembang.

Kawan baik sebabkan obes ada dua sahaja. Wajib mak dan ayah elakkan dua bahan ini kalau berat anak nampak macam tidak boleh dikawal.

1. Karbohidrat

Gula, roti, nasi, kuih, kek, makanan bertepung, tak kisah gandum mahupun gluten free, ada yang masih tinggi dengan karbo contohnya tepung beras dan tepung kentang.

Kurangkan sebanyak mungkin daripada anak yang obes. Ini yang akan buat badan anak makin menaik. Nasi, bagi kuantiti yang anak perlu sahaja, bukan selagi dia tidak kenyang, kita biar anak makan. Bukan begitu.

2. Makanan Ultra Proses

Paling perlu kita elakkan daripada anak yang obes, sebab makanan seperti ini mempunyai bahan ramuannya bukan dalam kawalan kita.

Biskut, roti, nugget, coklat, cereal, dan banyak lagi sampai tidak tertulis. Kebanyakan yang konsepnya makanan dalam pek, plastik, tin dan disimpan pada suhu bilik hingga boleh bertahan 2 hingga 3 tahun, itulah makanan ultra proses.

Gula tinggi, transfat, pemanis tiruan seperti High Fructose Corn Syrup (HFCS), ini yang buat anak ketagih mahu makan selalu dan buatkan dia susah nak dapat berat badan 'ideal'.

Cukup sahaja pantang dan kurangkan dua bahan makanan ini. Cuba sahaja dulu, untuk 2 minggu. Hasilnya mak dan ayah akan nampak sendiri. Berat badan anak akan menurun, dengan izinNya.

Tapi tulah, susah nak buat. Susah sangat. Kalau ada kemahuan yang jelas, kenapa mahu anak dapat berat badan ideal, kenapa nak anak sihat, kenapa nak otak anak berfungi dengan baik, insya Allah kita akan kuat untuk teruskan.

Kita yang anak berat ideal pula, janganla beriya bagi anak ambil makanan ultra proses. Makanan macam itu, memang kena elakkan juga, tdiak kisah berapa berat pun anak kita. Tetap kena cuba elak sedaya mungkin. Tidak ada yang baik pun dengan makanan macam itu.

Sama-sama kita cuba. Moga Allah bantu selalu.

Mingguan Wanita: Kena usaha dari awal, takutnya apabila sudah makin membesar, berat pun susah nak turun. Kasihan kat anak-anak.

Sumber: Dr Mazliana Mazlan



* Artikel asal disiarkan di Mingguan Wanita.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!