Berita baik kepada pelanggan aktif Pek Sukan Astro!

Susulan penangguhan acara sukan utama di peringkat global akibat pandemik COVID-19, Astro berbesar hati menawarkan potongan khas RM20 sebulan pada bil bulan Jun dan Julai ini.

Ketua Bahagian Sukan Astro, CK Lee berkata pihaknya yakin potongan khas secara one-off yang julung kali diberikan ini adalah wajar, khususnya kepada peminat sukan susulan sokongan mantap yang diberikan selama ini.

"Astro mengakui pandemik COVID-19 telah mengganggu banyak acara di seluruh dunia, termasuklah siaran langsung acara sukan justeru keputusan itu merupakan antara langkah-langkah proaktif yang diambil bagi membantu pelanggannya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Langkah itu termasuklah penyediaan saluran dan kandungan tambahan secara percuma sekali gus pelanggan Pek Sukan boleh menyaksikan semua saluran secara percuma dalam tempoh pelaksanaan PKP Bersyarat

"Pelanggan aktif Pek Sukan hingga 31 Mei akan menerima potongan harga dalam dua bil berikutnya pada bulan Jun dan Julai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, CK Lee berkata Astro telah pun menyiarkan secara langsung acara sukan Bundesliga, K-League dan UFC pada hujung minggu lalu.

Ketua Bahagian Sukan Astro, CK Lee

"Kami juga akan menyiarkan lebih banyak acara dan liga sukan secara langsung apabila ia disambung semula," kata Lee.

Menurutnya lagi, Astro kini dalam perbincangan bersama pemegang hak berhubung kemunculan semula siaran langsung acara-acara sukan.

Tambah Lee, pelanggan lain pula boleh menikmati saluran berita, pembelajaran, Filem Asia dan Stay Home Concert secara percuma dalam tempoh sama.