KUALA LUMPUR: Sudah berkeluarga atau masih membujang, bukanlah suatu pilihan untuk tidak melakukan perancangan perbelanjaan awal ketika memasuki musim perayaan Ramadan dan Syawal.

Menurut Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM, Prof Mohamad Fazli Sabri, setiap individu seharusnya melakukan perancangan perbelanjaan yang munasabah, kerana berdasarkan kajian perbelanjaan isi rumah akan meningkat sehingga tiga kali ganda setibanya musim perayaan.

“Berdasarkan kajian apabila menjelang musim perayaan secara umumnya perbelanjaan isi rumah, pengguna akan meningkat satu hingga tiga-3 kali ganda,” katanya.

Menurutnya lagi, lebih awal perancangan kewangan dilakukan lebih baik, sambal menambah terdapat tiga kategori perbelanjaan yang boleh dirancang.

“Dalam konteks pengurusan kita akan terbahagi kepada tiga, perbelanjaan besar, sederhana, kecil.
“Menjelang Ramadan Syawal selalunya dimulakan perbelanjaan kecil, tetapi kalau besar, contohnya kelengkapan rumah dan kereta baharu perlukan enam hingga 12 bulan perancangan.

“Perbelanjaan sederhana tiga hingga enam bulan, tetapi kalau perbelanjaan kecil boleh dilakukan kurang daripada sebulan,” tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, individu dinasihatkan supaya berbincang untuk melakukan perbelanjaan supaya tidak terpengaruh dengan pembelian yang tidak munasabah.

Ia termasuk terlalu mengejarkan trend semasa, terlalu memikirkan pandangan orang lain ataupun terlalu terpengaruh dengan ajakan di sosial media.

“Sebab berdasarkan kajian yang dilakukan ramai pasangan tidak ada lakukan dengan perbincangan dengan ahli keluarga, itu yang menjadi terlebih belanja.

“Kita juga kena kurangkan aktiviti melawat media sosial, kerana bagi saya rasa apa yang penting, kita jangan lihat kemampuan dan juga kebolehan orang lain.

“Kita lihat dulu poket kita, kita lihat kemampuan dan kemampanan kewangan keluarga jangan mudah terpengaruh,” tambahnya lagi.

Ketika ditem bual dalam program AWANI Pagi pada Sabtu, beliau turut menasihatkan semua orang supaya mempunyai daya tahan dan disiplin yang tinggi setiap kali ingin berbelanja di musim perayaan.