Bangkitnya seni terapi Malaysia di persada dunia

Orang ramai dijemput menyaksikan detik kegemilangan kebangkitan seni urutan Malaysia di Singapura, 29 & 30 November 2025. - StadiumAstro
DARI langkah kecil yang penuh tekad, kini Pasukan Malaysia sedang melakar sejarah baharu dalam dunia terapi dan urutan profesional.
Bermula dengan usaha gigih yang tidak kenal erti putus asa untuk memperkenalkan seni terapi tradisional dan teknik urutan moden, kini lahirlah satu pasukan yang membanggakan iaitu Malaysia Therapist Team.
Pasukan ini bakal mewakili negara di pertandingan berprestij iaitu World Holistic Massage Championship 2025 (WHMC) yang bakal berlangsung di Concorde Hotel, Singapore pada 29 dan 30 November ini.
Jika dulu, mungkin hanya 1 atau 2 sahaja wakil Malaysia yang datang akan tetapi kali ini, pasukan Malaysia bersatu hati menaikan nama Malaysia di persada antarabangsa. Dunia juga pertama kali akan melihat kategori seni urutan tradisional melayu telah di angkat dan di iktiraf dalam pertandingan urutan antarabangsa.Kejayaan ini bukan datang dalam sekelip mata. Ia adalah hasil dedikasi dan perjuangan bertahun-tahun oleh pasukan terapi Malaysia dan para ahli terapi tempatan yang sentiasa berani ke depan dan keluar bersaing di peringkat antarabangsa.
Dengan semangat tidak mengenal erti penat lelah, mereka menyatukan kepakaran tradisional seperti urutan Melayu bersama teknik moden antarabangsa bagi menghasilkan sentuhan terapi yang di iktiraf dunia.
Kini Malaysia bangkit untuk menjadi salah satu pesaing hebat dalam dunia terapi urutan. Jika pasukan Thai hebat dengan urutan Thai, pasukan Malaysia juga mempunyai keunikan dan kehebatan sendiri melalui gabungan unsur tradisi dan moden.
Pertandingan ini menghimpunkan para pakar terapi dan spa dari seluruh dunia, menjadikannya pentas terbaik untuk Malaysia menunjukkan keindahan seni urutan dan kehalusan budaya tempatan.
Melalui penyertaan ini, Malaysia bukan sekadar menghantar peserta, tetapi membawa bersama nama, bendera, dan maruah bangsa di arena antarabangsa. Ia simbol kepada keunikan warisan dan kehebatan terapi Malaysia yang mampu bersaing sekaligus membawa naik urutan tradisional melayu dan urutan malaysia di kenali di persada antarabangsa.
Pasukan Malaysia, dengan wajah-wajah mereka terpampang pada poster rasmi, adalah gabungan mantap ahli terapi yang mewakili kepelbagaian negeri di Malaysia iaitu dari semenanjung hingga ke Borneo. Ini adalah keunikan budaya Malaysia yang memukau, di mana setiap peserta membawa bersama warisan dan teknik unik dari negeri masing-masing.
Lebih membanggakan, pasukan ini terdiri daripada gabungan pelbagai latar belakang profesional iaitu dari pengamal terapi kesihatan, pensyarah, doktor, jurulatih kecergasan, sehinggalah usahawan dalam bidang spa dan kesejahteraan.
Mereka semua bersatu atas satu matlamat, iaitu untuk mengangkat nama Malaysia sebagai hab terapi dan kesihatan holistik di rantau Asia dan Dunia. Penyertaan Malaysia Therapist Team ini turut mencerminkan sokongan kuat kerajaan terhadap pembangunan industri kesihatan alternatif dan kesejahteraan rakyat.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, Malaysia terus digerakkan ke arah pembangunan menyeluruh yang seimbang antara kemajuan ekonomi dan kesejahteraan insan, seiring dengan semangat Malaysia MADANI.
Kini, tibalah masanya seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada pasukan ini. Walaupun mereka datang dari pelbagai negeri dan latar belakang, misi mereka tetap satu, membawa pulang kejayaan, penghormatan, dan inspirasi buat tanah air tercinta.
Setiap urutan, setiap sentuhan, dan setiap gerakan mereka di pentas pertandingan akan membawa semangat Malaysia bersama. Marilah kita sama-sama berdiri di belakang pasukan ini dengan doa dan kata semangat.
Sokongan rakyat Malaysia adalah sumber kekuatan untuk mereka berjuang membawa pulang kemenangan. Kejayaan mereka nanti akan menjadi bukti bahawa Malaysia bukan sahaja hebat dalam bidang tertentu sahaja, tetapi juga unggul dalam seni terapi dan kesejahteraan manusia.
Penyertaan 36 wira dan wirawati terapis Malaysia ini dijangka akan memberikan impak yang signifikan kepada industri spa dan kesihatan tempatan. Ia akan menjadi pemangkin kepada peningkatan standard latihan, pensijilan, dan inovasi, sekali gus membuka peluang yang lebih cerah kepada ahli terapi tempatan untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Semoga perjuangan Pasukan Terapi Malaysia ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berani melangkah keluar, mengejar impian, dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia. Dari langkah kecil kini menjadi langkah besar kerana inilah Malaysia, tanahair yang melahirkan insan berbakat dan berhati besar!
WHMCC 2025 merupakan platform utama yang menghimpunkan pakar urutan dari seluruh dunia, di nilai oleh panel juri terkemuka termasuk bekas juara urutan dunia dan berdasarkan penguasaan teknik, kreativiti gaya persembahan, etika profesionalisme, dan pendekatan holistik dalam penjagaan klien.
Untuk butiran penuh mengenai jadual pertandingan dan profil ahli Pasukan Terapi Malaysia, orang ramai boleh melawat laman web rasmi di www.wmasorganization.com atau hubungi talian maklumat 8934-7696.
* Oleh Dr Hadafi Fitri Mohd Latip. Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami