KUALA LUMPUR:SEBUAH rakaman memaparkan satu pasangan sedang menyelamatkan seekor anjing liar yang kaki dan kepalanya terikat dengan dawai, tular di laman sosial sejak semalam.

Rakaman berdurasi lebih tiga minit itu dimuat naik oleh pengguna Facebook Nahur Omar, menunjukkan dia menghulurkan bantuan kepada haiwan malang itu.

Dalam kejadian itu yang dipercayai di lebuh raya Karak, dia dan perakam dilihat menghampiri anjing itu, yang dalam keadaan kesakitan kerana lehernya itu terikat pada dawai, yang juga diikat pada sebatang kayu.

Kaki anjing itu juga tersangkut pada kayu itu dan menyukarkan pergerakannya.

 
Sumber Facebook nahur.omar

Menerusi rakaman tersebut juga, kedengaran suara seorang wanita yang dipercayai isterinya iaitu Sakira Banu, yang memaklumkan kaki anjing itu mengalami pendarahan akibat kesan jerutan dawai berkenaan.

Rakaman tersebut turut menunjukkan Nahur dan beberapa individu lain termasuk beberapa penunggang basikal yang melalui jalan itu turut sama-sama cuba menanggalkan dawai yang terikat dan terpintal pada haiwan itu.

Usaha mulia itu disertai pula oleh seorang penunggang motosikal yang berhenti untuk menawarkan bantuan, sebelum mereka akhirnya berjaya memotong dawai itu untuk menggunakan pisau.

Kerjasama mereka akhirnya membuahkan hasil selepas dawai itu berjaya dipotong.

Pada penghujung rakaman tersebut, kelihatan penunggang basikal menghulurkan air untuk membasuh tangan Nahur.

Rakaman tersebut menerima reaksi positif daripada warganet apabila rata-rata mereka tersentuh hati melihat belas ihsan yang ditunjukkan oleh mereka.

Sementara itu, dalam entri berlainan, Nahur turut memuat naik beberapa keping gambar memaparkan dia dan Sakira, memberi makanan kepada haiwan liar termasuk kumpulan monyet.

 
Sumber Facebook nahur.omar