"Kerja yang membosankan, tiada masa hadapan dan tiada masa bersosial."
Ia kata-kata biasa yang dilemparkan bagi menggambarkan situasi kerja sebagai pembantu rumah hingga ia gagal menarik minat ramai golongan muda.
Namun, dalam ribuan yang menolak kerja itu, masih ada yang bersedia melakukannya selagi ia mampu memberi pulangan lumayan serta manfaat lain.
Siti Nordira Mat Hassan, 26, dari Kemaman sudah terbiasa dengan tanggapan negatif masyarakat sekeliling sejak menceburi kerja itu tiga tahun lepas dan bersyukur diberi peluang keluar daripada dunia pekerjaan yang hanya 'cukup makan' malah tidak pernah berpeluang langsung menabung.
"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya pernah bekerja di kedai makan, kedai membuat biskut, pasar raya dan membersih rumah penginapan. Saya memperoleh gaji sekitar RM900. Tapi bila ditolak kos minyak motosikal dan makan minum, gaji yang tinggal cuma berbaki RM400.
"Itu belum lagi kos membeli barangan lain termasuk bil telefon. Hendak membantu keluarga pun berkira-kira apatah lagi menabung."
"Kini, saya memperoleh pendapatan bersih hampir RM1,000, kadang-kadang menerima bayaran lebih masa jika majikan ke luar negara. Makan dan penginapan tidak perlu saya fikirkan kerana ia sedia ada dan selesa.
"Selain itu, setahun sekali majikan akan memberi peluang kepada saya untuk memilih tempat percutian dan menyediakan semua kos perbelanjaan, itu belum lagi bonus dan duit raya. Saya tidak memperoleh semua itu sebelum ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Peroleh kepercayaan majikan
Menurut Siti Nordira, ramai yang tidak mengetahui bahawa jika bekerja dengan tekun dan setia, mereka mampu menambat hati majikan malah memperoleh keuntungan berganda berbanding pekerjaan lain.
Wanita warga asing menguasai kerja itu kerana ia ternyata menguntungkan malah mereka mampu membina rumah dan menyara keluarga di negara asal.
"Untuk apa merasa terhina sedangkan ramai rakan seusia saya hanya duduk di rumah sahaja apabila tidak mahu bekerja di pasar raya dan kedai makan. Kerja ini membuka mata saya untuk bertekad membuka pusat jagaan kanak-kanak satu hari nanti.
"Saya bukanlah orang senang, hanya tinggal di kawasan perumahan PPRT. Daripada wang gaji dan dikumpulkan beberapa bulan, saya mampu menyumbang membaiki rumah, membayar penuh pinjaman motosikal yang dahulunya tertunggak dan kini saya mula mengambil lesen kereta," katanya.
Beliau mengakui bahawa pekerjaan itu memerlukan pergaulan bersama keluarga orang lain namun ia mampu memberi ilham untuk berubah dan mencari ruang memperbaiki kelemahan diri.
Tambah Siti Nordira, beliau pada awalnya menganggap hanya mampu bekerja dalam tempoh singkat namun kerana keprihatinan majikan dan pendapatan yang baik, beliau terus kekal bekerja malah kadangkala majikannya akan menghantarnya mengikuti kursus membuat kek sebagai persediaan jika berhenti kelak.
"Saya beruntung kerana majikan amat prihatin, kesemua anggota keluarga tidak pernah memanggil saya pembantu rumah malah saya dianggap sebahagian daripada keluarga ini. Jika diperkenalkan kepada orang lain, majikan akan menyatakan saya ialah pembantu peribadi beliau.
"Saya diberi cuti, namun saya lebih selesa bersama anak-anak, cuma dalam dua bulan sekali saya akan balik ke kampung kerana majikan membayar kos pergi dan balik, sekiranya saya tidak pulang ke kampung, kos itu akan dibayar sebagai imbuhan lebih masa," jelasnya yang kelihatan ceria dan bergaya.
Bagaimana bermula?
Menceritakan keinginan bekerja sebagai pembantu rumah, Siti Noradira berkata ia hanya secara kebetulan apabila mengetahui majikannya mahukan pembantu daripada kalangan orang tempatan.
"Saya menghubungi majikan dan diberitahu saya perlu menjaga tiga anak yang telahpun bersekolah. Majikan biasanya akan memasak untuk anak-anak dan saya hanya perlu membantu. Cuma, jika terlalu sibuk, saya akan memasak. Apa yang mereka makan, saya juga akan menikmatinya.
"Saya dinaikkan gaji dua bulan selepas bekerja dan melihatkan kesesuaian, saya meneruskan niat bekerja di sini walau ada dalam kalangan rakan-rakan mengusik memanggil saya 'bibik'. Pada awalnya terasa juga tetapi apabila mereka melihat perkembangan diri saya dan keluarga, panggilan itu terhenti sendiri dan akhirnya ada yang mula berminat untuk bekerja seperti ini," katanya.
Sementara itu, Mastura, 25 (bukan nama sebenar), yang tinggal sekampung dengan Siti Noradira juga melakukan pekerjaan yang sama dan mula 'terpikat' apabila melihat perubahan dalam kehidupan rakannya itu.
Mastura, yang kini bekerja di Johor Bahru, berkata beliau berhubung dengan majikannya menerusi laman sosial Facebook dan bersetuju bekerja sejak tahun lepas.
Beliau dibayar gaji RM1,000 dan perlu menjaga seorang anak majikannya yang kurang upaya.
"Majikan yang bertugas sebagai doktor datang ke kampung menemui keluarga saya dan setelah menyatakan alamat tempat tinggal saya mengikut beliau ke Johor Bahru. Alhamdulillah, saya selesa bekerja di sini... apa yang menggembirakan saya ialah melihat kesemua RM1,000 adalah milik saya, tanpa perlu memikir kos tempat tinggal dan makan," katanya.
Sebelum ini, Mastura pernah kerja di sebuah pasar raya dan berhenti apabila tidak tahan kerana perlu berdiri terlalu lama setiap hari dan masalah pengangkutan.
Program 'Home Manager'
Siti Noradira dan Mastura bekerja secara persendirian namun di Terengganu peluang bekerja dalam bidang yang sama telah dikomersialkan sebagai 'Home Manager'.
Program yang diselia oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu sehingga kini melahirkan 81 orang Home Manager yang terdiri daripada ibu tunggal dan beliawanis.
Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata daripada jumlah itu, seramai 37 Home Manager telah pun bertugas di Kuala Terengganu, Kuala Nerus (30), Dungun (lima), Marang (empat), Kemaman dan Hulu Terengganu masing-masing dua serta seorang Home Manager di Besut.
"Kerajaan negeri memperkenalkan program ini untuk mengurangkan kebergantungan rakyat Malaysia, khususnya di Terengganu, kepada warga asing untuk berkhidmat sebagai pembantu rumah.
"Bagusnya program ini kerana majikan dan Home Manager saling memahami budaya tempatan dan setakat ini program ini berjalan dengan lancar, malah semakin ramai majikan yang berminat mahu mendapatkan Home Manager," katanya.
Subsidi kepada majikan
Bagi memastikan anak tempatan yang berminat mahu menjadi Home Manager dapat menjalankan tugas mereka dengan baik, YPKT melalui Permodalan YPK Sdn Bhd turut mengadakan kursus kemahiran persediaan itu secara teori dan praktikal.
Malah, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi program itu antaranya untuk menyediakan kemudahan pinjaman kenderaan, insurans, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pakaian seragam Home Manager dan gaji permulaan sebanyak RM900.
Mohd Shafaruddin berkata majikan juga mendapat keistimewaan daripada kerajaan negeri iaitu pemberian subsidi RM200 selama enam bulan untuk gaji Home Manager di mana mereka hanya perlu membayar RM700 sahaja.
"Pada tahun ini, 150 peserta telah mendaftar untuk menyertai program Home Manager dan kursus pertama bermula pada Mac 2016.
"Setiap kursus akan disertai 30 peserta dan mereka akan menjalani latihan persediaan selama 14 hari sebelum memulakan tugas dengan majikan yang mahukan khidmat mereka," katanya.
Bernama
Thu Apr 21 2016
Masih terdapat warga tempatan yang percaya pada kerjaya sebagai pembantu rumah memberi mereka rezeki dan pengalaman yang baik. - Gambar hiasan
Fahmi zahir ucapan takziah kepada keluarga wartawan Nikkei Asia, Hakimie Amrie
Fahmi menyifatkan Allahyarham dikenali sebagai seorang pengamal media yang komited serta berdedikasi.
Tidak ambil gaji dan elaun, bukti komitmen Ramanan demi warga Sungai Buloh
Ramanan menjadi tumpuan umum selepas menyingkirkan Khairy Jamaluddin di Parlimen Sungai Buloh dalam pertarungan yang dianggap cukup sengit.
Google Maps mungkin guna rakaman dashcam untuk kemas kini data pemetaan
Menurut Google, pihaknya bekerjasama dengan beberapa pengeluar perakam kereta yang mengumpul dan menyimpan data rakaman pengguna.
Razman Zakaria mohon maaf kepada Nga Kor Ming
Razman mengaku terkhilaf dan terkeliru antara dua program yang dirasmikan oleh Nga pada 13 Sept dan 24 Okt melibatkan insiden kibaran bendera negara China.
Heritage Buildings: Preserve or progress?
Heritage buildings hold the echoes of our history and the soul of our identity. Yet, as modern cities expand, the pressure mounts to either preserve or redevelop? Here to guide us through this conversation is Director of Research at Rahim & Co International Sdn Bhd, Sr. Sulaiman Saheh.
Malaysia lulus pelaburan RM254.7 bln bagi sembilan bulan pertama 2024 - MIDA
Pelaburan diluluskan sebanyak RM254.7 bilion untuk sembilan bulan pertama 2024, menekankan keyakinan kukuh pelabur terhadap dasar dan hala tuju ekonomi Malaysia.
Astro catat pemulihan ADEX pada suku tahun ketiga
Astro Malaysia Holdings Berhad mencatat pertumbuhan dalam perbelanjaan pengiklanan (Adex) pada suku ketiga tahun kewangan 2025.
Bomba selamatkan empat individu terperangkap ketika memancing di Sitiawan
Pihak JBPM Perak mendapat maklumat mengenai insiden tersebut pada 1.13 pagi.
Data & Statistik: Perdagangan borong, runcit Malaysia melakar rekod baharu pada Oktober
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), perdagangan runcit mendahului carta, meningkat sebanyak 7.1 peratus kepada RM64.9 bilion, manakala perdagangan borong menyumbang RM66.3 bilion, dengan kenaikan 4.8 peratus.
TVET pacu ekonomi, jamin masa depan generasi muda
TVET diakui sebagai platform signifikan dan strategik dalam membekalkan belia dengan kemahiran teknikal yang amat diperlukan oleh industri.
Berbaloi bekerja sebagai pembantu rumah
Jika bekerja dengan tekun dan setia, pembantu rumah boleh menambat hati majikan sekali gus mendapat keuntungan berganda dari aspek pengalaman serta kewangan.