Ramai individu tidak melihat proses meniti usia tua dari satu sudut pandangan yang positif. Mereka percaya bahawa proses meningkat usia tua adalah hanya satu perjalanan menuju kematian.

Mereka, yang terperangkap dalam minda pemikiran sedemikian, didapati mengabaikan saat-saat bahagia yang sepatutnya dilalui semasa usia tua. Malah ada yang hanya berfikir mengenai kematian sahaja.

Penduduk dunia dilihat ramai yang semakin meningkat usia tua dan menjelang 2050, dijangka seorang daripada lima penduduk di negara sedang membangun akan mencatatkan umur lebih 60 tahun.

Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini memandangkan pada 2030, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meramalkan bahawa 15 peratus daripada penduduk negara ini akan mencapai umur lebih 60 tahun.

JANGKA HAYAT

Orang Amerika berbelanja 28 peratus daripada pendapatan mereka untuk penjagaan kesihatan bagi meningkatkan jangka hayat sebanyak 18.5 tahun. Manakala seluruh dunia mencatatkan perbelanjaan untuk produk anti penuaan berjumlah US$274.5 billion menjelang 2013.

Malahan jumlah bagi pembedahan kosmetik meningkat sebanyak 155 peratus pada tahun lepas.

Penulis berpeluang menemubual Dr Rico Ricketts, yang berkunjung ke sini sejak Disember lepas untuk lari seketika daripada cuaca sejuk di Kanada.

Pakar gigi berusia 70 tahun ini juga mempelajari homopati, akupuntur, ubat ayuvedic di samping nutrisi sepanjang 20 tahun lepas.

Hari ini, beliau ialah seorang perunding dalam bidang kesihatan.

Malahan bekas doktor gigi ini nampak lebih muda daripada usia sebenarnya.

TABIAT

Sepanjang berada di sini, Dr Ricketts telah memerhati tabiat rakyat Malaysia dan menyatakan kebimbangannya terhadap cara rakyat Malaysia menguruskan soal-soal berhubung kesihatan terutama dalam melakukan senaman dan pengambilan makanan dan minuman.

Antara hasil penemuannya ialah 75 peratus daripada rakyat Malaysia tidak melakukan senaman.

Budaya makan terlalu kerap dan pengambilan gula menerusi manisan dan susu pekat manis semestinya boleh menyumbang ancaman terhadap kesihatan mereka untuk jangka panjang, katanya.

"Saya melihat rakyat Malaysia mempunyai gigi yang cantik dan mereka suka makan. Mereka tambah gula dalam jus buah dan susu pekat dalam minuman teh tarik," jelas beliau.

Menurut Dr Ricketts, perkara ini menyebabkan peningkatan dalam penyakit senyap seperti kencing manis, hipertensi dan kanser.

"Untuk mengatasi masalah dari segi kesihatan, rakyat Malaysia perlu mengubah gaya hidup mereka," katanya.

BUAT PILIHAN BIJAK

"Kita lakukan banyak pilihan dalam kehidupan. Kita boleh berbelanja bagi sesuatu produk atau memperuntukan sejumlah wang untuk berhadapan dengan masalah penuaan," kata Dr Ricketts.

Beliau berkata, dengan adanya teknologi hari ini, seseorang itu mudah mendapatkan maklumat.

Menerusi Internet, aplikasi telefon bimbit dan peralatan teknologi lain, kebanyakan orang mudah mendapatkan maklumat atau sekurang-kurangnya mempunyai laluan kepada banyak sumber maklumat.

Begitu juga terdapat peningkatan besar dalam jumlah produk dan perkhidmatan kesihatan, kempen kesedaran kesihatan dan inisiatif lain.

Dr Ricketts merujuk kepada budaya diet yang diamalkan di beberapa tempat di bumi ini, yang dinamakan sebagai 'Zon Biru' di mana orang ramai hidup sihat walaupun sehingga umur 90.

"Sebab mengapa ramai orang boleh menikmati kehidupan yang sihat pada umur 90 tahun ialah mereka makan untuk hidup dan bukan hidup untuk makan," katanya.

METOS PENUAAN

Satu ceramah bertajuk 'Metos Penuaan' ('Myth of Ageing') dianjurkan pada 19 Jan oleh Friends To Mankind (F to M), sebuah badan bebas antarabangsa berpangkalan di Kanada.

Dr Ricketts dan Presiden Malaysian Wellness Society, Dr. Rajbans Singh turut memberi ceramah pada sesi yang berlangsung di Pusat Perubatan Tropicana.

Dr. Rajbans dalam ceramahnya membincangkan tajuk '10 Perkara bagi Kesihatan Penuaan' yang merangkumi bidang stimulasi mental, nutrisi, pengurusan stres dan senaman.

Beliau juga menjelaskan mengenai bidang baru yang berkaitan dengan hormon bio-seiras, profil DNA dan stem sel.

Manakala Dr. Ricketts, membincangkan mengenai unsur utama yang menyumbang kepada faktor penuaan, kesan negatif daripada gaya hidup tidak sihat termasuk penyakit yang berpunca daripada pengambilan makanan tidak sihat.