TAHUN 2019 bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi dan sudah tentu ketibaan 2020 akan disambut dengan penuh kemeriahan.

Pasti ada dalam kalangan kita ketika ini sedang mencari lokasi untuk menyambut tahun baharu, dan mungkin telah merancang untuk bercuti ke luar negara bagi menyaksikan pesta percikan bunga api.

Ini mungkin boleh membantu anda untuk membuat keputusan!

Data tempahan platform tempahan penginapan dalam talian Agoda mendedahkan Malaysia kekal berada di tangga ketiga terbanyak menerima tempahan di Asia pada 2019 bagi pilihan destinasi percutian.

Sementara itu, Kuala Lumpur melonjak ke tangga kedua berbanding tahun sebelumnya sebagai bandar raya di Asia yang paling banyak dikunjungi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Agoda, rakyat negara ini berduyun-duyun ke ibu kota untuk meraikan Tahun Baharu, selain menyaksikan Kuala Lumpur terus memenangi hati pelancong untuk empat tahun berturut-turut.

Lokasi tumpuan sempena Tahun Baharu mengikut tahun.
Selain destinasi tempatan, Thailand dan Indonesia terus menjadi pilihan pelancong dari Malaysia.

“Mereka yang berada dalam negara berkemungkinan besar akan memilih destinasi pelancongan tempatan seperti Kuching (di tangga keempat); Pulau Pinang (kelima); Langkawi (keenam); Genting Highland (ketujuh); Kota Kinabalu (kelapan) dan Melaka (ke-10),” demikian menurut Agoda.

Secara keseluruhannya, Jepun masih menduduki tangga teratas sebagai negara yang paling banyak dikunjungi di Asia, diikuti oleh Thailand di tempat kedua.

Sementara bagi destinasi Eropah, Perancis merampas mahkota yang dipegang oleh United Kingdom pada 2018 dan di Amerika Utara pula, Las Vegas kekal sebagai destinasi paling dikunjungi.