Bercuti selama berhari-hari atau berminggu-minggu dengan meninggalkan kediaman seharusnya menyedarkan anda mengenai langkah-langkah menjaga keselamatan kediaman. Ada beberapa perkara yang harus diutamakan demi menjaga keselamatan rumah dan juga harta benda anda.
Beberapa tip daripada aktivis keselamatan K. Balasupramaniam ini ringkas dan praktikal untuk diikuti. Semua ini bagi memastikan segala kenangan sepanjang hari raya ini hanya diisi dengan waktu menyeronokkan dengan keluarga dan sahabat handai, makanan lazat dan juga perasaan yang bebas kebimbangan.
Sentiasa berbuat baik dengan jiran-jiran anda, maka anda boleh bekerjasama dengan mereka dalam hal berkaitan kawalan dan keselamatan rumah. – Gambar fail
JIRAN-JIRAN
“Sentiasa beritahu seseorang yang anda percayai, seperti jiran, bahawa anda akan meninggalkan kediaman untuk satu tempoh tertentu supaya mereka dapat memantau rumah anda dari semasa ke semasa sepanjang ketiadaan anda.
“Jangan lupa untuk memberikan jiran tersebut senarai nombor telefon yang boleh dihubungi sekiranya berlaku sesuatu kecemasan,” katanya.
CABUT PALAM ELEKTRIK
Bala juga mencadangkan agar anda memasang alat penentu masa di rumah supaya beberapa lampu boleh dihidupkan mengikut jam yang dikehendaki. Ini bagi memastikan kediaman diterangi pada waktu malam seterusnya memberi gambaran bahawa seseorang berada di dalam rumah.
“Alat penentu masa itu juga boleh digunakan untuk pemasangan radio,” katanya.
Bala memberitahu, adalah penting untuk memastikan agar kepala regulator gas dicabut dari tong gas. Begitu juga dengan kabel bagi banyak peralatan rumah, ia hendaklah dicabut daripada soket kuasa.
Kabel elektrik peralatan rumah hendaklah dicabut daripada soket kuasa. – Gambar fail
KAMERA LITAR TERTUTUP
Memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan kotak penggera keselamatan adalah bagus untuk kediaman kerana ia memberi perlindungan tambahan. Namun begitu, bagi yang belum berkemampuan untuk memiliki keseluruhan sistem tersebut, mungkin boleh memilih untuk mendapatkan set olok-olok untuk kediaman.
Kamera dan kotak sistem penggera keselamatan olok-olok mungkin membantu namun sejauh mana ia berkesan bagi membuatkan penjenayah berasa terancam agak sukar untuk diukur.
Ia jelas memberi kesan baik selagi orang yang berniat untuk memecah masuk kediaman menyangka ia adalah peralatan tulen yang berfungsi.
Beli dan pasang CCTV jika anda mampu tetapi memiliki set olok-olok juga membantu sehingga ke satu tahap. – Gambar fail
SEMBUNYI BARANG BERHARGA
Jangan biarkan objek atau barangan berharga terdedah di bahagain hadapan rumah atau di halaman. Basikal, bateri kereta atau rim tayar boleh menjadi ‘tarikan’ kepada penjenayah yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang tunai segera dengan menjualnya semula.
Katakanlah penjenayah dapat juga memecah masuk ke dalam kediaman. Namun, usah berikan mereka kelebihan dan kesempatan mudah.
Barang perhiasan seperti wang tunai, jam tangan dan barang berharga lain sepatutnya dibawa bersama ketika bercuti ataupun disimpan di dalam bank, atau disembunyikan di tempat-tempat rahsia yang difikirkan secara kreatif di dalam rumah.
Jangan lupa untuk sentiasa menyimpan buku akaun bank bersama anda atau sembunyikan ia dengan baik di tempat yang sesuai. Tiada sesiapa perlu tahu jumlah simpanan anda di bank.
“Ini adalah untuk mengelakkan penjenayah mengetahui nilai simpanan tersebut seterusnya memungkinkan jenayah terancang pada masa hadapan,” kata Bala.
Barang perhiasan seperti wang tunai, jam tangan dan barang berharga lain sepatutnya dibawa bersama ketika bercuti ataupun disimpan di dalam bank. - Gambar fail
TIP TAMBAHANBala turut mengesyorkan beberapa tip tambahan untuk keselamatan kediaman seperti menyapu gris kalis air di pagar belakang rumah. Ia memberi halangan tambahan kepada percubaan memanjat.
“Sebagai langkah keselamatan jangka panjang, anda boleh cuba menanam pokok bunga kertas di beberapa sudut rumah yang dikhuatiri menjadi laluan masuk atau keluar bagi penjenayah. Ia bertindak sebagai pagar duri semula jadi,” ujarnya.
Pokok bunga kertas yang ditanam di sekeliling rumah dianggap menambahkan ciri keselamatan kerana ia mempunyai duri yang boleh menembusi fabrik dan mencucuk kulit. Selain tumbuh dengan cepat, pokok bunga kertas juga cantik sebagai hiasan, namun perlu berhati-hati sekiranya anda mempunyai anak-anak kecil atau haiwan peliharaan.
Pokok bunga kertas mempunyai duri tajam yang bertindak sebagai pagar keselamatan di rumah anda. – Gambar fail
Beberapa perkara lain yang perlu difikirkan sebelum meninggalkan rumah untuk bercuti sempena hari raya:
1) Pastikan pintu dan tingkap rumah ditutup dan dikunci dengan mangga yang tidak mudah dipecah atau diumpil.
2) Pastikan alat penentu masa dan sistem penggera keselamatan berfungsi dengan baik.
3) Hentikan sementara langganan surat khabar atau media cetak lain sepanjang anda bercuti.
4) Anda digalakkan melindungi rumah dengan polisi insurans bagi melegakan tanggungan kerugian, sekiranya jenayah pecah masuk berlaku.
5) Beritahu pegawai polis di stesen terdekat tentang ketiadaan anda dan berikan butiran seperti nombor, tarikh anda pergi dan kembali, serta nombor pendaftaran kenderaan (jika ada kenderaan ditinggalkan).
Pastikan rantai dan kunci mangga yang digunakan benar-benar kuat. – Gambar fail