GEORGE TOWN: Pulau Pinang sekali lagi terpilih sebagai salah satu daripada 22 destinasi terbaik untuk melancong pada 2022 oleh CNN Travel di samping lokasi popular lain dunia antaranya Finland, Jordan, Chile dan Perancis.

Menerusi artikel oleh CNN Travel, Pulau Pinang adalah satu-satunya wakil dari negara ASEAN yang dipilih dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Memetik artikel CNN Travel itu, Pulau Pinang yang terletak berhampiran Laut Andaman itu menawarkan gabungan masakan tradisional Melayu, Cina dan India.

"Selain masakan popular, Pulau Pinang juga terdapat masakan Baba Nyonya (Peranakan) yang mana ia menggabungkan ramuan serantau dan kaedah masakan masyarakat Cina dan Melayu. Semua makanan ini boleh diperoleh di pusat penjaja dan rumah kedai di seluruh Pulau Pinang.

"Selain itu, di Georgetown juga dipenuhi dengan bangunan bersejarah seperti rumah agam Inggeris dan rumah kedai kaum Cina yang klasik dan masjid yang cantik untuk masyarakat Islam," kata artikel itu lagi.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow melalui Facebook beliau pada Isnin memaklumkan pengiktirafan itu menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang.

Menurut Kon Yeow, Pulau Pinang dipilih untuk berada dalam senarai 22 destinasi terbaik pelancongan tahun ini kerana pelbagai budaya dan adat, makanan, warisan dan elemen penting lain dapat menarik pelancong.

"Warga Pulau Pinang atau juga dikenali sebagai Pulau Mutiara berbangga kerana berjaya ke platform dunia," katanya.