JABATAN Metereologi Malaysia meramalkan fenomena Ekuinoks yang membawa cuaca panas terik bakal melanda Malaysia 20 Mac ini.

Ini tentunya berita kurang baik buat rakyat Malaysia yang 'berperang' dengan cuaca panas dan kering semenjak beberapa minggu kebelakangan ini.


Beberapa tip yang dikongsi ini boleh membantu meredakan bahang kepanasan, selain dapat membantu kita kekal sihat dan aktif dalam cuaca panas.

1. Perkara paling asas dalam menghadapi cuaca panas adalah memastikan air yang mencukupi di dalam badan. Minum air putih sebanyak mungkin untuk mengelakkan dehidrasi.

Elakkan minuman berkafein dan manis kerana ia mempercepatkan dehidrasi.

2. Pilih pakaian yang diperbuat daripada fabrik yang sejuk dan membantu meresap haba dan peluh. Elakkan memakai pakaian berlapis.

3. Untuk wanita, kurangkan solekan kerana ada sesetengah bahan dalam produk kosmetik kemungkinan menyekat aliran peluh, sekali gus membuatkan rasa panas di bahagian muka.

Malaysia berhadapan cuaca panas dan kering sejak beberapa minggu lalu

4. Hadkan aktiviti luar dan aktiviti yang memerlukan penggunaan tenaga yang banyak.

5. Pastikan pemakaian krim SPF yang bersesuaian dengan kulit jika perlu terlibat dengan aktiviti luar.

6. Sebaiknya mandi dengan air yang suam dan tidak terlalu sejuk. Ini kerana mandi air sejuk akan membuatkan badan anda menjana haba untuk menggantikan haba yang baru hilang.

7. Boleh juga cuba meletakkan atau melalukan air sejuk pada pergelangan tangan selama beberapa saat. Ini kerana satu saluran darah utama berada di sini, dan boleh memberikan rasa sejuk dengan pantas.

8. Makan kerap, tetapi dalam kuantiti sedikit. Makan dalam kuantiti yang banyak, terutama yang tinggi kadar karbohidrat akan menaikkan kadar metabolisme dan ini akan membuatkan badan terasa panas.