Deepavali: 'Little India' jadi tumpuan orang ramai beli persiapan saat akhir

Kawasan perniagaan di Little India turut menarik kehadiran ramai pelancong dan warganegara asing yang mahu merasai kemeriahan. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Deretan kedai di "Little India" Brickfields, di sini yang menawarkan pelbagai barangan menarik terus menjadi pilihan utama orang ramai dalam membuat persiapan menjelang perayaan Deepavali pada 20 Okt ini.
Tinjauan Bernama pada petang Sabtu mendapati, kawasan tersebut sesak dengan orang ramai yang membeli-belah saat akhir dengan masing-masing dilihat menjinjing beg berisi pelbagai kelengkapan untuk Deepavali seperti baju, aksesori, barangan dekorasi rumah, kuih raya dan barangan segar lain.
Salon rambut dan kedai menawarkan ukiran inai turut tidak ketinggalan menerima kunjungan pelanggan yang tidak putus-putus, terutama dalam kalangan wanita.
Seorang jururawat yang hanya ingin dikenali sebagai Henna, 40, berkata, menjadi rutin setiap tahun bagi dia dan keluarga untuk datang ke sini bagi membeli baju raya kerana banyak pilihan ditawarkan."Dekat sini ada banyak pilihan dan hari ini sahaja saya beli dua pasang baju untuk anak-anak. Harganya juga berpatutan, tidak jauh beza di tempat lain malah sesetengah kedai menawarkan potongan harga," katanya yang datang bersama dua anak perempuannya yang masih bersekolah.

Selain rakyat tempatan, kawasan perniagaan di Little India ini turut menarik kehadiran ramai pelancong dan warganegara asing yang tidak mahu melepaskan peluang merasai kemeriahan membeli-belah di sini.
Seorang warga India, Shilpa, 40, yang telah dua tahun menetap di Malaysia berkata, dia memilih untuk membeli-belah di sini kerana kualiti barangannya yang baik.
"Di sini barangnya lebih baik berbanding di kebanyakan negara lain yang pernah saya kunjungi. Pilihan barangan seperti baju, hiasan rumah juga lebih banyak," katanya yang ditemani keluarga bagi membeli barangan untuk upacara sembahyang, makanan segar dan dekorasi rumah bagi Deepavali.
Dia yang berasal dari bahagian tengah India berkata pembelian saat akhir pada hari ini juga bersempena "Dhanteras", yang dianggap sebagai hari yang bertuah untuk membuat pembelian meskipun kebanyakan persiapan telah dibeli lebih awal.
Sementara itu, pemilik syarikat pengangkutan dan logistik, Nirmal Singh, 63, berk,ata bersama anak dan cucunya mereka datang ke di Little India untuk membeli gelang.
Nirmal yang pertama kali membeli-belah di sini berkata, pelbagai pilihan dan tawaran menarik menjadi faktor utama mereka mencari kelengkapan perayaan di sini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami