OFFENBURG, Jerman: Terkejut tetapi teruja, pertama kali mencuba, Nasi Lemak dihasilkannya berjaya pikat hampir 500 tetamu antarabangsa di acara Malam Antarabangsa anjuran Universiti of Applied Science, Offenburg, Jerman.

Tewaskan Nasi Beriani, hidangan Nasi Lemak rasa asli dari Malaysia oleh pelajar Malaysia, Ahmad Taufeq Ismadi Ahmad Zakki, direbut untuk dicuba warga asing sehingga habis licin hidangannya dalam masa 10 minit sahaja. 

Ahmad Taufeq Ismadi, 24, ternyata teruja dengan situasi itu memandangkan hidangan Nasi Lemak yang dihasilkan cukup ringkas, hanya ada nasi, ikan bilis, kacang, timun, telur rebus dan sambal.

"Betul-betul tidak sangka. Sebelum meja dibuka sekali pun, sudah ramai beratur menunggu untuk mencuba Nasi Lemak. Saya cuba sedaya upaya hasilkan menu Nasi Lemak yang asli, dihidang atas daun pisang. Dalam nasi juga, saya letak daun pandan, daun limau purut untuk mengharumkan aromanya. Nasib baik menjadi, licin dalam 10 minit sahaja.

"Daun pandan, daun pisang dan ikan bilis, saya memang minta ibu bapa saya poskan dari Kuala Lumpur. Ya, demi memastikan, Nasi Lemak saya hasilkan di sini, di Jerman ini, tidak jauh bezanya dengan hidangan yang saya nikmati bersama keluarga dan rakan di Malaysia," kata Ahmad Taufeq Ismadi, pelajar Sarjana jurusan Bioteknologi di Universiti of Applied Science Offenburg, Jerman.



Nasi  Lemak yang dihasilkan itu adalah untuk persembahan pada acara Malam Antarabangsa atau International Evening, yang dianjurkan universitinya setiap tahun.

Antara lain, International Evening itu merupakan acara untuk semua pelajar mempersembahkan keunikan sama ada budaya, makanan dan pakaian tradisonal dari negara asal masing-masing untuk tujuan diperkenalkan kepada rakan dari negara lain.

"Saya sengaja pilih Nasi Lemak kerana saya merasakan menu ini sangat akrab dengan saya, saya penggemarnya, tambahan pula ia mempamerkan keunikan tersendiri, sangat mencerminkan wajah Malaysia, iaitu nasi yang aromanya harum dan berlemak, ada ikan bilis, sambal, timun, kacang dan telur. Ya seperti, pelbagai kaum di Malaysia, konsepnya sangat harmoni sehingga menyatukan rasa Nasi Lemak itu sendiri.

"Kebanggaan saya terhadap keunikan Nasi Lemak inilah yang mendorong saya untuk memperkenalkannya kepada rakan-rakan saya, yang hampir kesemuanya dari negara luar Asia serta orang lain yang datang dari serata Jerman," ujar beliau.     

Nasi Lemak asli Malaysia habis dicuba pelajar dan tetamu warga asing di Jerman dalam acara Malam Antarabangsa di Offenburg, baru-baru ini. - Gambar Astro AWANI


Menurut Ahmad Taufeq Ismadi, dia tidak pernah memasak sebelum menyambung belajar di Jerman, sekali pun menjerang air untuk minuman sendiri.

"Tetapi, dengan bantuan ibu dan video-video yang ada secara meluas di pelbagai platform, pertama kali mencuba, saya bangga dengan usaha ini. Saya boleh katakan, ia adalah keunikan Nasi Lemak itu sendiri yang berjaya memikat orang asing untuk mencubanya, tambahan pula ia hidangan Malaysia, yang dihasilkan warga Malaysia pula, itulah kehebatan Nasi Lemak," tambah Ahmad Taufeq Ismadi.

Ahmad Taufeq (berbaju Melayu kuning) melayan ratusan pelajar dan tetamu asing yang mahu mencuba Nasi Lemak dihasilkannya semasa acara Malam Antarabangsa di  Offenburg, Jerman baru-baru ini. - Gambar Astro AWANI

Sementara itu, antara pelajar asing yang tertarik dengan rasa Nasi Lemak ialah Macarena Paz Ohlbaum Toledo, rakan sekelas Ahmad Taufeq Ismadi berasal dari Chile.

Menurut Macarena, dia kagum dengan rasa Nasi Lemak itu, yang dianggap berbeza dengan nasi lain yang pernah dicubanya sebelum ini.

"Saya tertarik dengan hidangan sampingan mengiringi nasi ini, ada ikan bilis goreng dan juga telur. Sambal sedikit pedas untuk saya, tetapi rasanya seimbang apabila disuap nasi dan dimakan bersama timun, " kata Macarena yang akui tidak ragu-ragu untuk mengesyorkan Nasi Lemak kepada rakan antarabangsa lain pula.

Dalam pada itu, terdapat juga warga Malaysia yang turut hadir memeriahkan acara Malam Antarabangsa di Offenburg, Jerman itu di mana masing-masing Irfan Samrizan Samsuri dan Muhammad Aizzuddin Haiqal Ramlee yang merupakan pelajar Program Pertukaran Malaysia- Jerman mengakui kerinduannya kepada Nasi Lemak terubat dengan hasil air tangan Ahmad Taufeq Ismadi.

"Gembira betul dapat makan Nasi Lemak, walaupun tiada ayam goreng atau lauk iringan lain. Rasa Nasi Lemak dihasilkan Ahmad Taufeq Ismadi macam yang dimakan di Bangi, dekat rumah saya," kata Irfan Samrizan.

Muhammad Aizzuddin Haiqal pula berkata, Nasi Lemak dihasilkan Ahmad Taufeq Ismadi menjadikan harinya bertukar penuh kegembiraan.

"Komen-komen yang diterima juga ada yang menyatakan, ia hidangan yang paling sedap pada acara Malam Antarabangsa. Semasa acara berlangsung, ada juga Nasi Beriani, dihasilkan pelajar dari India. Begitu juga ada Nasi Arab dari rakan dari negara Asia Barat. Tetapi, saya boleh katakan, Nasi Lemak paling sedap, dan tiada yang sesedap dihasilkan oleh orang Melayu dari Malaysia sendiri," katanya.

Melihat kepada respons yang begitu positif dan baik terhadap Nasi Lemak, Ahmad Taufeq Ismadi tidak menolak permintaan rakan-rakannya lebih-lebih lagi pelajar asing,  untuk menghasilkan sekali lagi hidangan popular dari Malaysia itu.

"Mungkin saya perkenalkan mereka dengan Nasi Lemak berlauk pula selepas ini dan lihat apa reaksi mereka," katanya.

Antara ratusan pelajar asing yang memuji keenakan Nasi Lemak dihasilkan pelajar Malaysia di Jerman, Ahmad Taufeq Ismadi Ahmad Zakki (kiri sekali) semasa acara Malam Antarabangsa dianjurkan University of Applied Science, Offenburg, Jerman baru-baru ini.  - Gambar Astro AWANI